Sunday, December 28, 2008

Azam 2008 - Yang Tercapai,Tidak & On The Way..

Merenung masa depan. The one that i held, no more!

Beberapa hari lagi, tahun 2009 akan menjelma. Esok pula, permulaan tahun baru dalam kalender Islam. Hatta tahun baru kalender apa sekalipun, aku yakin ramai yang memasang azam tahun baru untuk menjadikan diri mereka lebih baik dari tahun yang sudah-sudah.

Azam aku? Hmmmm...Alhamdulillah, banyak yang berjaya aku pangkah dari senarai. Aku mula menjadi manusia berazam secara serius sejak tahun 2005. Lebih tepat, sejak aku berkerja di RTM dan dewasa bersamanya. Sebelum tu berazam juga, tapi azam hangat-hangat tahi chicken. Kata motivator, kalau kita senaraikan azam-azam pada satu kertas yang panjang, tak banyak separuh dari azam itu akan menjadi kenyataan..Ini antara azam aku yang dicatatkan di dalam nota Facebook tahun lalu.



    1. Kurangkan berat badan lagi

    2. Kalau ada rezeki tahun ini aku bersedia untuk mengandung

    3. Confirmkan jawatan dalan kerajaan

    4. Selesaikan baki PTPTN yang tertunggak

    5. Upah haji arwah abah

    6. Menjadi anak yang baik pada Puan Siti Zainiah Sulaiman dan arwah Khairi
      Tak

    7. At least finalis untuk mana-mana festival antarabangsa.

Aku ulang, actually ini antara azam yang aku catatkan secara jelas dan nyata dalam Facebook tahun lepas. Dalam kitab rasmi yang lain ada beberapa tambahan azam seperti yang aku catatkan untuk mengukuhkan kekuatan berazam:-

  1. Berhenti merokok

  2. Beli rumah

  3. Dapatkan lesen memandu

  4. Bercuti di luar negara setahun sekali

  5. Hantar item untuk international festival..


Ok, kita lihat pula azam aku yang berjaya dicapai pada tahun 2008..

  1. Confirmkan jawatan dalam kerajaan - akhirnya...

  2. Selesaikan baki PTPTN yang tertunggah - yes, i made it!!

  3. Upah haji arwah abah - alhamdulillah....

  4. Menjadi anak yang baik kepada Pn. Siti Zainiah dan arwah Khairi Tak - (aku consider aku berjaya he..he..he..)

  5. Bercuti di luar negara - Tahun lepas aku ke Hatyai, Brunei dan Bali, Indonesia..

  6. Berhenti merokok - yang dinantikan oleh semua insan disekeliling espc 2nd smoker

Manakala azam yang tak tercapai itu tuan-tuan dan puan-puan, tidaklah dibakul sampahkan apatah lagi di keronyok kertas azam itu. Akan aku carry forward ke tahun depan dan ditambah dengan azam-azam yang lain. Jadi, tunggulah di entri yang lain, dan di catatan yang lain - juga di blog yang lain.


Sekali-sekala aku teringat azam masa zaman aku kanak-kanak. Nak Nintendo, basikal, komputer, nak dapat nombor satu dalam peperiksaan dll. Kebanyakannya berjaya aku capai walaupun mengambil masa yang lama. Zaman ini aku tak pasti adakah semangat berazam ini tersemai dikalangan anak-anak kita. Aku akan meminta Raziq untuk melakukan perkara yang sama. Semoga anak saudara sulung itu mampu merubah nasib diri dan keluarganya..

Monday, December 15, 2008

Soalan Tak Masuk Akal : Otak Lu Kat Mana?


Aku penerbit rancangan...itu semua maklum. Aku bukan pengacara rancangan TV yang saban minggu muka terpancar di kaca TV. Aku hanya insan belakang tabir yang banyak mengendalikan so-call-feeling-celebrity ini sahaja. Jadi dah bermacam-macam ragam pengacara yang aku lalui dan kadang-kadang terima kasih kepada muka-muka mereka yang lawa dan kacak berjaya juga menyembunyikan kesentengan otak yang ada.

Membaca satu artikel di ruangan hiburan (artikel tu ada kat bawah)memang membuat aku geli hati. Satu sebab soalan tu memang bodoh. Dua, pengacara tu memang la kasta bodoh dan ketiga kebodohan itu terpancar secara berbayar kepada penonton. Ini yang membuat aku geli hati sangat-sangat...



''Hampir tersedak Cik Normah sebaik mendengar soalan pertama pengacara wanita itu. Nak tahu apa dia tanya? Malu Cik Normah nak bagi tahu. Boleh dia tanya apakah penyingkiran mereka disebabkan tragedi tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa? Apa kaitannya?

Jika sekali pun pasangan itu tinggal di kawasan berkenaan, apa kena mengena pertandingan itu dengan tragedi yang berlaku? Lainlah kalau pasangan selebriti itu pergi menari di situ ketika kejadian. Memang patut pun mereka tersingkir kerana tidak sensitif dengan perasaan orang yang sedang bersedih. Tetapi, ini mereka menyertai pertandingan dengan niat untuk beramal lagi. ''


Bodoh celah mananya pengacara tu?



  1. Bukannya pasangan tu menari di kawasan tapak tanah runtuh.

  2. Bukannya pasangan tu menari menyebabkan tanah runtuh.

  3. Apa sentimen pulak pasangan itu disingkirkan sebab rumah diorang dekat dengan tanah runtuh?

  4. Rumah pengacara tu dekat tapak tanah runtuh ke yang membuatkan soalan bangang tu terpacul dari mulut pengacara?


Kalau la aku penerbit masa tu, memang aku dah jerkah-jerkah time-time itu jugak. Kepada pengacara lain, ambil la iktibar dari kes di atas. Nampak simple, tapi yang simple tu boleh menjerat diri. Kalau rasa-rasa malas nak membaca, rentikan nak jadi pengacara. Baiklah jadi controller prompter ajer..



Sumber : Berita Harian

DALAM melayan layu mata Cik Normah gara-gara kepenatan selepas pulang dari satu majlis, sempat juga Cik Normah menekan punat televisyen untuk mengikuti perkembangan terkini dalam dan luar negara. Cik Normah pun mengambil berat hal ehwal semasa tau. Jangan ingat Cik Normah sibuk cari gosip saja. Itu cuma sampingan. Cik Normah juga sentiasa lengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan. Jadi tak mudah Cik Normah tewas dengan pujuk rayu mereka yang cuba mengambil kesempatan atas kebaikan Cik Normah.


Ditemani secangkir teh sejuk, Cik Normah pun menonton satu temu bual bersama pasangan selebriti yang tersingkir dalam satu pertandingan realiti. Hampir tersedak Cik Normah sebaik mendengar soalan pertama pengacara wanita itu. Nak tahu apa dia tanya? Malu Cik Normah nak bagi tahu. Boleh dia tanya apakah penyingkiran mereka disebabkan tragedi tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa? Apa kaitannya? Jika sekali pun pasangan itu tinggal di kawasan berkenaan, apa kena mengena pertandingan itu dengan tragedi yang berlaku? Lainlah kalau pasangan selebriti itu pergi menari di situ ketika kejadian. Memang patut pun mereka tersingkir kerana tidak sensitif dengan perasaan orang yang sedang bersedih. Tetapi, ini mereka menyertai pertandingan dengan niat untuk beramal lagi.


Sudah berapa kali Cik Normah lihat cara personaliti ini mengendalikan temu bual. Memang menyesakkan dada. Tak tahulah Cik Normah kenapa dia begitu? Apa dia ingat jadi perantara ini hanya untuk mencari glamor?

Thursday, November 27, 2008

Krisis vs Pelancongan Domestik

Semalam, Pakatan Rakyat Demokrasi (PAD) menawan Lapangan Terbang Suvarnabhumi bagi menghalang Perdana Menteri Thailand, Somchai Wongsawat pulang ke tanahair beliau selepas pulang menghadiri mesyuarat APEC di Peru. Mengenali trend penyokong parti di sana ini bukanlah sesuatu yang pelik. Ogos lalu, aku sendiri menyaksikan 3 lapangan terbang utama di tutup, laluan keretapi disekat dan pengangkutan awam seperti teksi, tut-tut dan bas lumpuh - mogok untuk memberi tekanan pada Samak meninggalkan Rumah Kerajaan. Semua rakyat menonton stesyen TV yang sama (aku tak ingat stesyen mana.rasanya stesyen pembangkang sebab 24 jam menunjukkan rapat umum pemimpin PAD berucap).

Abaikan sajalah mogok-merusuh-kena belasah polis-PM berundur- ini sebab setiapkali adanya tekanan politik, isu di atas ini jugalah yang dilaung-laungkan. Aku lebih suka bercakap tentang nasib pelancong-pelancong yang tak bersalah tu. Mereka datang berapa ribu batu nautika dari negara masing-masing, membayar tiket kapal terbang yang boleh tahan juga harganya dan mengharapkan percutian meninggalkan kenangan manis untuk dikenang. Apa yang dapat? Tekanan perasaan, fobia, penyesalan tak sudah. Silap-silap terkandas untuk satu tempoh yang lama dan tak dapat 'refund'.

Pengusaha hotel pasti tak senang duduk memikirkan bilik berpuluh-puluh masih kosong. Bapak ayam dan tokei Tiger Show ada potensi sakit jantung lagi sebab takde orang yang berani datang. Tengah sedap-sedap tengok aksi panas tiba-tiba mati kena bom - straight masuk neraka tingkat 7. Pemandu teksi dan tut-tut yang kaki paw tu 3 hari pertama larat la terjerit-jerit mogok tunjuk perasaan. Masuk seminggu dah susah hati duit belanja sekolah anak tak cukup, dapur tak berasap tom-yam dan teksi mereka pun kena bayar sewa rupanya..

Ha, tu la..masa ada pelancong awak tekan macam nak giler..

Dunia menyaksikan kejadian ini menerusi suratkhabar on-line, youtube, CNN, BBC dan sumber berita lain soheh setahun tak berani pergi negara itu. Berani ke? Rakyat asyik nak merusuh semua PM yang ada semuanya tak betul.

Jadi selamat babai kepada hasrat untuk menjadikan pelancongan sebagai sumber pendapatan negara. Dan aku rasa Airasia pasti merenung award yang diterima daripada Thailand dan terfikir - ada harapan lagi ke pelancong nak naik AirAsia ke Thailand?

Hanya ada satu insan sahaja yang mampu memulihkan keadaan ini iaitu Raja Bhumipol Adulyadej.

Sementara itu, and berani nak ke Thailand? Errrr....tak apalah. Banyak lagi tempat lain. Dan Mat Saleh yang nak merasai Truly Asia di Thailand terus ubah rancangan ke Malaysia..

Siapa kata takde hikmah disebalik semua kejadian...he..he..he..

Bagaimana pula ke Bali? Beranikah anda setelah pengebom Bali ditembak mati? Aku tak berani nak ke sana menjelang Krismas dan Tahun Baru 2009..Janganlah ada yang pelik-pelik berlaku lagi.Amin!

Protes warga Thailand masa era pemerintahan Samak

Kredit Foto :http://lh6.ggpht.com/_JU-SU2-kf7s/SF-jEyCTXZI/AAAAAAAAADc/AA9CLkSYGBA/OB-BR381_bangko_20080620094812.jpg


Krisis di Thailand makin meruncing
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm
BANGKOK 26 Nov – Krisis politik di Thailand semakin meruncing dengan penunjuk perasaan antikerajaan terus mengepung Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada hari ketiga hari ini, selain dicemari dengan kejadian tembakan dan beberapa letupan bom.

Seorang aktivis antikerajaan mati ditembak di Chiang Mai, utara Thailand oleh sekumpulan penyokong kerajaan, hari ini.

Menurut Leftenan Kolonel Atipol Thongdaeng, dalam kejadian tersebut, seorang lelaki dalam usia 50-an telah ditarik keluar dari keretanya, lalu ditembak dengan senjata api oleh sekumpulan yang dipercayai penyokong kerajaan.

“Kematian lelaki ini dipercayai dipercayai disebabkan anak mangsa yang juga aktivis antikerajaan terlibat mengendalikan sebuah stesen radio antikerajaan,” katanya.

Penunjuk perasaan yang dipimpin Pakatan Rakyat Bagi Demokrasi (PAD) menawan lapangan terbang tersebut bagi menghalang Perdana Menteri Somchai Wongsawat dari pulang ke tanah air.

Ia merupakan kompleks utama kedua yang ditawan penunjuk perasaan, tiga bulan selepas mereka mengambil alih Rumah Kerajaan, yang menempatkan pejabat Perdana Menteri.

Somchai dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru.

Sementara itu, sekurang-kurangnya tujuh orang cedera dalam tiga siri pengeboman kecil hari ini, termasuk di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Dua orang cedera dalam serangan bom tangan yang berlaku di lapangan terbang berharga AS$4 bilion (RM14 bilion) itu, awal pagi ini.

Letupan serupa berlaku di Lapangan Terbang Don Mueang yang kini menjadi pejabat sementara Perdana Menteri mengakibatkan dua orang cedera.

Tiga lagi cedera setelah dua bom tangan meletup ketika penyokong antikerajaan sedang berarak di jalan masuk lapangan terbang Don Mueang.

Pertempuran turut dilaporkan berlaku di sekitar bandar raya ini membabitkan penyokong PAD dan anggota keselamatan.

Sementara itu, Somchai dilaporkan selamat mendarat di Lapangan Terbang Chiang Mai pada pukul 6 petang (7 petang waktu Malaysia).

Sebaik-baik tiba Somchai berkata, beliau tidak dapat menerima cadangan Ketua Tentera Thailand Jeneral Anupong Paochinda yang meminta beliau membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru bagi menamatkan krisis politik yang telah berlanjutan berrbulan-bulan lamanya.

“Saya tidak dapat memenuhi permintaan pihak tentera supaya meletakkan jawatan dan mengadakan satu pilihan raya baru.

“Kerajaan saya telah dibentuk secara demokratik dan akan terus berkhidmat untuk kebaikan negara,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen ke seluruh negara.

Reuters pula melaporkan, Somchai dijangka memanggil mesyuarat tergempar Kabinet esok bagi membincangkan langkah menangani tindakan penunjuk perasaan yang telah melanggar undang-undang.

– Agensi

Friday, October 31, 2008

Lelaki Paling Gemuk : Sampai Jodohnya

Setiap manusia mempunyai pasangan yang telah disuratkan. Baik lelaki dengan wanita, lelaki dengan lelaki atau wanita dengan wanita semuanya berpasang. Kerana itu aku malas nak melayan keluhan 'kenapalah aku takde bf/gf lagi'?

Lelaki paling gemuk di dunia, Manuel Uribe bertemu jodohnya dalam usia 43 tahun. Dengan berat badannya dahulu 590 kilogram dia berjaya mengurangkan berat badan sekitar 230 kilogram. Punyalah besar mamat nie sampai dia kena usung guna kren untuk ke altar tempat beliau nak kawin - dengan katil sekali!


Manuel Uribe dan Claudia Solis..bukan Gabriel Solis ya..


Alah bucuk-bucuk sayang abang...


Inilah Manuel dan katilnya...aku rasa katil tu kalau
boleh bercakap dah mintak nyawa dah..



Hangkut dengan katil sekali guna kren
sebab dia tak larat nak berjalan


Aku rasa Claudia Solis nie kategori debab jugak..
Tapi sebab dia duduk sebelah Manuel
yang lebih besar dia nampak comel pulak :)

Dalam hati aku cuma ada satu soalan - dalam keadaan berat badan macam itu, bagaimana dia akan 'bergeli-geli' dengan pasangan dia? Apapun, selamat pengantin baru Manuel Uribe!

Kepada yang masih single tu, yakinlah jodoh anda di luar sana.

Thursday, October 30, 2008

Pengorek Wanted?

Oh, engkau la bendanya....yang menyebabkan petani merana. Yang menyebabkan industri itu terjejas..

Hebatnya engkau...siap jadi wanted. Gambar engkau kat airport seluruh Malaysia. Eh, dasyatnya penangan engkau. Poster Mawi pun aku takde jumpa..tapi poster engkau di mana-mana..

Mintak autograf sikit bole?


Kumbang Pengorek Mangga? Takde nama glamer ke?

Oh, ini la rupa parasnya...

Wednesday, October 29, 2008

Bag Idaman Wanita?

Aku tak feminin..setakat calit lipstick sekali-sekala tu ada la..Nak pakai bag tangan mintak maaf. Aku lagi rela pakai beg sekolah. Tertanya juga, siapa nak pakai beg macam ini. Keji lagi haram jad**

Korang nak pakai ke?

Rekaan terbaru...

Kat hidung tu bole simpan syiling..

Posing inesen....

Arial shot..

Friday, October 17, 2008

Kelab Lumba Kuda..

Lori Ke-3 yang aku selisih tengah lebuhraya

Minggu lepas aku ke utara tanahair untuk menguruskan hal pusaka. Melalui lebuhraya PLUS, kenderaan berat ini sentiasa berada di jalanraya. Kalau sebijik dua tak apalah juga..Rasanya lebih 4 bijik kenderaan sebegini aku temui..

Yang aku ingat kenderaan Kelab Lumba Kuda Selangor dan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang. Bergerak mematuhi had laju dan konsisten..

Tapi aku tak pernah jumpa kenderaan Kelab Sabung Ayam, Kelab Laga Lembu atau Kelab Laga Ikan..Agaknya tak standard kot..

Tuesday, October 14, 2008

Datuk Shah Rukh Khan?

Di mana-mana heboh pasal pemberian Datuk kepada SRK. Apa rasionalnya aku yang benak semakin tepu memikirkannya. Kalau ada yang positif berkenaan isu ini selain memberi idea pada bloggers meluahkan rasa lucu dan kelakar seram ialah suara-suara persatuar mewakili artis mula bergendang.

Aku masih tertanya, kenapa SRK? Kenapa tidak pada anak-anak Malaysia? Setahu aku SRK nie ketepehnya pun satu taraf dengan buruh kasar yang buat construction seluruh Malaysia. Kalau boleh cakap melayu pun sekadar sebut Terima Kasih dan Apa Khabar Kuala Lumpur, itupun selepas 30 minit menghafal teks dengan bantuan rakyat tempatan yang tersengih sampai nampak gigi berlubang apabila berdamping dengan beliau.

Alah...nak bagi Datuk pada dia bagilah. Banyak benda lain yang nak aku fikirkan seperti menyelesaikan hutang lapuk dan menonton aksi lawak di parlimen. Selepas ini takde siapa nak anugerahkan DATUK pada Tupac, Michael Jackson, Datuk Seri Celine Dion ataupun Tan Sri Elvis Prestley?

Wednesday, October 1, 2008

Selamat Hari Raya

Assalammualaikum...
Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin buat semua.
Sekiranya ada salah dan silap, harap maafkan dunia dan akhirat..

Friday, August 29, 2008

Perihal Bajet 2009

Sebaik saja aku mendapat tahu 29 Ogos 2008 Pak Lah akan membentangkan Bajet 2009, aku sudah berkira-kira untuk memanggil Presiden CUEPACS,Haji Omar Osman dan juga Presiden Persatuan Pengilang dan Pengusaha Bumiputera, YM Dato Raja Nong Chik Raja Zainal sebagai panel untuk topik semasa dalam rancangan SPM.

Debaran Bajet 2009...itulah tajuknya dan begitu kuatnya juga debaran itu kepada aku. Pertamanya, sebab aku risau kedua-dua panel beremosi sementelah masing-masing mewakili persatuan yang memperjuangkan keperluan dan hak. Keduanya...he..he..he...aku memang nervous setiap kali YM Dato diundang ke Studio. Sudah 3 kali aku undang YM Dato dan tidak sekalipun beliau menghampakan permintaan aku. Karisma YM Dato buat lutut aku menggigil seketika..

Lebih buat aku melompat anak-anak riang adalah sebab SMS yang masuk pagi tadi sahaja mencecah 300 lebih...Satu angka yang agak besar untuk sambutan program pagi. Mood aku pulak bukan main ceria lagi. Mungkin kerana Energy Drink yang aku togok sebelum siaran. Tapi nyatanya sebab sebab tetamu yang seorang itu...ahaks
!




YM DATO' RAJA NONG CHIK RAJA ZAINAL


HAJI OMAR OSMAN


*****************************************


Y.A.B DATUK SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI


Penat kalih kiri-kanan..jari lenguh memicit butang TV kejap RTM 1, RTM 2, TV3, NTV 7, 8TV dan juga Indosiar (eh, mana datang ini Pak Man?)

Tak larat juga keluar masuk bilik air kerana debaran itu sungguh meningkatkan adrenalin dan memaksa buah pinggang bekerja lebih keras lantas kantung kencing penuh sebelum waktu..

Sempat aku bukakan geluk jampi memuja batu telaga sabta dan mendapatkan khidmat paranormal Kepulauan Java. Orang putih ada kata, Two Out Of Three Ain't Bad..

1) Ok la....bonus sebulan gaji...

2) Gaji pesara minima RM 720. Hmm....mama dapat almost RM 800 tapi oklah untuk pesara lain..

3) KWSP..tak kena langsung...
Apapun syukurlah ada gak belanja nak raya dengan bukak sekolah adik-adik aku nanti...

GELUK JAMPI BAJET 2009

Wahai geluk jampi...adakah kena perkara-perkara ini pada pembentangan sebentar lagi?
A)BONUS!!!!
B)ELAUN UNTUK PESARA
C)ELAUN KRITIKAL
D)Boleh keluar KWSP tanpa banyak songeh?
E)Bajet lain yang menyenangkan diri ini menyara keluarga yang disayangi?

Tak kena semua kena satu pun jadi la...

Wahai geluk jampi...kasiklah harapan he..he..he..

Thursday, August 21, 2008

Sudahkah Anda Kibarkan Jalur Gemilang?


Lebih kurang 11 hari lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan ataupun Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-51. Aku bersyukur sebagai rakyat Malaysia yang menunaikan tanggungjawab mempertahankan keamanan, mengundi dan bekerja dengan berdedikasi, Malaysia kini sudah jauh berubah (walaupun politiknya macam itu jugak..)Sejak berumahtangga dan menyewa di Taman Petaling, tahun ini sudah 2 tahun tanpa gagal aku kibarkan Jalur Gemilang,lambang rakyat yang sayangkan negara..

Tidak patriotikkah tidak kibarkan Jalur Gemilang? Ada yang kata merdekakan jiwa dulu barulah kita merdeka dalam erti kata yang sebenarnya. Pada aku, tidak patriotik amatlah kalau kita tidak mengibarkan bendera negara menjelang hari kebesaran negara.

Kenapa mesti ada alasan? Semuanya nak kena tunggu dapat bendera percuma barulah meriah bendera kita di mana-mana. Semasa aku ke gedung membeli-belah bersama seorang rakan, aku membeli bendera Malaysia yang baru (yang lama masih elok, cuma sedikit pudar warnanya sebab aku kibarkan sepanjang masa). Dia sedikit hairan.."Nak kena beli ke? Tak payahlah nanti akan dapat free jugak. Tak pun kat sekitar RTM banyak, rembat aje satu...

Aku tersenyum sendiri..Dia mungkin merasa kibarkan Jalur Gemilang setakat satu perhiasan rumah agaknya..

Setakat RM10 untuk membeli satu Jalur Gemilang baru apalah sangat nak dibandingkan dengan emas-emas yang moyang-moyang aku gadaikan semasa Tunku Abdul Rahman hendak ke London menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Dan alangkah kejinya jika ada orang yang sanggup mencuri bendera negara sendiri kerana tak dapat bendera percuma..

Kalaulah pejuang-pejuang negara yang mati di medan perang boleh hidup balik, aku rasa mereka akan mengangkat senapang dan menembak kembali petualang-petualang yang tidak tahu menghargai penat-lelah dan nyawa mereka mempertahankan negara.

Betullah kata pujangga, mempertahankan kemerdekaan lebih sukar daripada mendapatkannya. Aku sudah mengibarkan Jalur Gemilang. Kalian bila pula?

Thursday, August 14, 2008

Faedah PTPTN Turun...


Credit Photo :http://bmbupm.files.wordpress.com/2007/10/untitled-1.jpg

Zaman belajar dulu, aku antara puluhan ribu pelajar yang berhutang dengan PTPTN. Itupun dah naik degree baru layak memohon. Selama setahun setengah di matrikulasi terpaksa menyusahkah mama dan arwah abah (walaupun itu tanggungjawab mereka..)Masa matriks mana layak memohon. Aku ingat lagi..aku dah Hadi terpaksa mengutip botol, kertas, dan tin aluminium untuk dikitar semula. Dapatlah duit lebih sikit. Nasib rumah sewa aku di Seksyen 7 ada stor yang agak besar untuk disimpan barang-barang ini. Ini semua untuk survival kerana kos di Shah Alam agak mencengkam..

Apply loan PTPTN masa Part 1, dah Part 2 baru dapat. Servis PTPTN dulu memang tahap lembab gaban. Tapi nasib baik Part 2 dapat selambak. Bernafas jugalah di bumi Shah Alam. Mungkin kerana rezeki aku baik, aku berjaya mendapat biasiswa JPA masa Part 3. Jadi hutang aku pada PTPTN takdelah banyak sangat..

Bulan lepas, aku berjaya melangsaikan hutang PTPTN dengan jayanya. Semalam pula diumumkan faedah PTPTN diturunkan kepada 1% daripada 4%. Sabar aje la...

Apapun aku bersyukur kerana azam menyelesaikan hutang lapuk yang aku semat sejak tahun 2003 berjaya aku lunaskan tahun 2008. Tak ada istilah azam lapuk dalam hidup aku sebab aku berazam bukan untuk setahun.

Jadi aku nasihatkan kepada kawan-kawan untuk menyelesaikan pinjaman PTPTN ini. Bukannya apa..Kalau korang mati nanti, tak pasal-pasal orang lain pulak kena membayarnya. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan Imam Ahmad dan Imam Ibni Hibban yang bermaksud :
”Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

Salam Muhibah!

Wednesday, August 13, 2008

PROTES WARGA UITM...


Credit Photo : Berita Harian, 13 Ogos 2008

Sebelum aku berlayar lebih jauh. aku ingin mengucapkan tahniah kepada MPP UiTM yang dipimpin oleh saudara Luqmannulhakim Mohamad Idris. Aku pernah mengundang beliau ke Studio awal tahun dahulu untuk memperkatakan isu 'Jerat Kerja Internet' dan menerusi perhatian aku, Luqman berpotensi menjadi seorang pemimpin belia yang hebat.

Secara peribadi, sebagai alumni UiTM menang aku tak setuju langsung dengan cadangan membuka kemasukan UiTM kepada bukan bumiputera. Bukan kerana risaukan persaingan, bukan kerana takut dan bukan kerana alasan lain yang dilemparkan.

Aku memandang cadangan politik tetap berbaur politik. Ini hanya satu antara strategi dan rempah ratus yang enak untuk diperdengarkan peda pengundi pilihanraya Permatang Pauh nanti. Mungkin aku salah..tapi aku tetap tak percaya dengan janji-janji mengarut seperti ini.

Aku takut ia akan menjadi satu keterbukaan yang memakan diri orang Melayu, khususnya bangsa aku dan anak cucu aku nanti selain kaum bumiputera yang lain. Ibarat berjanji dengan belanda..Mula-mula minta buka 10% pada bukan bumiputera. Lepas itu kuota akan bertambah dan apa yang tinggal? Sudahlah bangsa aku yang satu ini memerlukan masa yang panjang untuk menjadi bijak. Tak sanggup aku memperjudikan hal pendidikan orang Melayu yang hanya ilmu sahaja dapat mengubah nasib kaum keluarga. (Tapi banyaknya yang dah kaya lupa diri dan membuat cadangan yang mengarut...)

Hak orang Melayu dan hak Islam sudah mula satu-demi satu dipersoal. Nak aje aku suapkan kontak sosial pada mereka supaya faham kembali susur-galur nak mencapai kemerdekaan negara yang dikasihi ini.

Selepas ini apa lagi?Aku menanti sepak terajang politik seterusnya walaupun muak dan mual melihat alunan mereka bertingkah.

Sempat aku layangkan SMS tahniah pada Luqman. Bukan kerana berjaya menghimpunkan pelajar UiTM mempertahankan institusi pengajian mereka, tapi lebih kerana kejayaan beliau menghimpunkan seramai itu bukan bertujuan mempertahankan satu individu. Itu baru UiTM induk, belum cawangan UiTM seluruh Malaysia. Dan belum masuk alumni UiTM yang bersedia mempertahankan tempat mereka mendapat segulung Diploma / Ijazah etc, yang menjadikan siapa aku hari ini.

UiTM Dihatiku....

Tuesday, August 12, 2008

Syor Kentang Ganti Nasi Gagal


Credit Photo :http://www.lakewoodconferences.com/direct/dbimage/50176674/Holland_Potato.jpg

Membaca akhbar Berita Harian semalam menerusi satu artikel 'Syor Kentang Ganti Nasi Gagal' semalam sungguh mengujakan. Pertamanya, aku tak tahu siapa punya idea yang nak menukar kentang ganti nasi sebagai makanan alternatif. Keduanya, benarkah ada usaha besar-besaran yakni kempen khusus berkenaan isu ini?

Justeru, aku mengangkat tajuk ini sebagai perbincangan untuk Topik Semasa pagi tadi. Hebat memang hebat...jangan kata tersenyum sendiri, sambil menerbit siaran aku gelak besar membaca SMS penonton dan komen pengguna yang sempat menelefon ke studio. Ada yang SMS mengatakan kalau kentang yang mereka makan pun hanyalah kentang putar KFC dan keropok kentang Mr. Potato. Ini mesti penonton yang sempat melawak sesama sendiri ingin memanjangkan lawak pagi kepada penonton SPM.

Seorang pemanggil sempat memberi pandangan tentang isu ini. Katanya, menukar dari nasi kepada makan kentang boleh dilaksanakan. Tapi bayangkan kenduri kahwin nanti siapa yang nak makan kentang sebagai menu utama? Siapa yang begitu komited nak mengupas berbakul-bakul kentang untuk dimasak Kentang Beriyani, Kari Kentang, Kentang Masak Kurma, Kentang Masak Tomato dan lain-lain. Sesungguhnya, aku lepas laku pagi tadi. Memang aku bantai gelak besar!

Sempat sang pengacara, Sayed Munawar menyarankan secara bersahaja supaya menu pagi daripada Nasi Lemak ditukar kepada Kentang Lemak...

Pada aku yang selalu membeli-belah dan rajin memasak ni, kentang agak mahal untuk dijadikan makanan asasi. Tambahan pula stok kentang kalau simpan lama alamat lebam-lebamlah kentang itu jadinya. Itu belum masuk lagi agas-agas berterbangan kalau kentang itu terlalu lama diperap. Kalaulah beras, setidak-tidaknya tahan 2 bulan dan masih elok untuk di masak. Sementelah kentang merupakan komoditi eksport. Makanya bertambahlah pengaliran ringgit ke luar negara dan bertambahlah kos membeli racun perosak untuk membunuh agas tadi (ini lawak sengal aku...)

Ada juga yang bersetuju kentang sebagai makanan gantian nasi. Alasan diet satu yang standard. Tapi aku rasa kentang lagi lambat hadam daripada nasi. Makan banyak kentang tak keluar-keluar pula melalui saluran yang sepatutnya. Lagipun tak kenyang..tak sekenyang nasi yang dah jadi makanan asasi aku sejak kecik-kecik botol kicap lagi.

Satu pendapat penonton lain yang muak agaknya menyaksikan penonton SPM lain berbalah-balah tentang isu kentang - semua nak murah, nak subsidi kentang la. makan rumput macam kambing kan senang, free aje depan rumah pun ada.

Itu bengkek tahap gaban agaknya..Apapun aku gembira kerana perbincangan tadi mendapat respon yang memberansangkan dari penonton.

Tadi Datuk A.Rahman Hassan datang ke studio untuk menguar-uarkan tentang Kongres Industri Hiburan. Sebelum itu aku sempat memasang lagu V.E Feat. Datuk A.Rahman Hassan. Wah, senyum lebar Datuk!



Syor makan kentang tak dapat sambutan
Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my

MAKANAN ALTERNATIF: Ramai beranggapan makan kentang tidak mengenyangkan.

Rakyat sukar ubah tabiat pemakanan ganti nasi

KUALA LUMPUR: Cadangan pelbagai pihak supaya penduduk negara mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kentang sebagai makanan utama untuk mengganti atau mengimbangi pengambilan nasi bagi mengurangkan kos berikutan peningkatan harga beras tidak mendapat sambutan.

Ia berikutan hampir seluruh rakyat yang menjadikan nasi sebagai makanan ruji sejak sekian lama, enggan mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kentang walaupun ketika harga beras melambung naik.

Kaji selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 50 penduduk sekitar Lembah Klang mendapati semua responden mengaku harga beras meningkat namun hanya empat peratus saja yang sanggup menukar kepada ubi kentang sebagai alternatif nasi.

Hasil kaji selidik itu juga mendapati kebanyakan responden enggan beralih menjadikan kentang makanan pengganti atau untuk mengimbangi pengambilan nasi kerana mereka enggan beralih selera serta menyifatkan nasi lebih mengenyangkan.

Di sebalik 90 peratus responden kaji selidik berkenaan yang berumur dalam lingkungan 28 tahun sehingga 60 tahun mengakui kenaikan harga beras kebelakangan ini membebankan dan meningkatkan kos mereka tetapi tidak akan beralih kepada kentang.

Selain itu, mereka juga menganggap cadangan supaya menukar tabiat pemakanan dengan mencuba sajian utama lain seperti yang berasaskan kentang juga bukan penyelesaian kepada beban yang terpaksa ditanggung akibat kenaikan harga beras.
MENYELERAKAN: Pelbagai sajian berasaskan kentang.

Kaji selidik itu menunjukkan 84 peratus daripada responden menganggap mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kentang mungkin menjadikan kos sara hidup mereka lebih tinggi kerana ia lebih mahal berbanding beras.

Ketika ini, harga sekilogram ubi kentang ialah kira-kira RM2.50 manakala sekilogram beras juga dianggarkan pada harga yang sama (bergantung kepada jenama) namun ia tahan lama jika disimpan berbanding ubi kentang.

Sekilogram ubi kentang juga dianggarkan hanya boleh menampung keperluan pemakanan kira-kira empat orang individu dewasa berbanding beras yang boleh dimakan dengan jumlah yang lebih ramai daripada itu.

Sebelum ini, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia ada menyarankan rakyat mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil ubi kayu, keledek dan kentang yang banyak ada di negara ini yang bukan saja lebih murah, malah berkhasiat.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga meminta rakyat mengubah gaya hidup dengan mengutamakan amalan berjimat-cermat, mengelak pembaziran dan berbelanja mengikut keperluan ketika dunia dilanda krisis bekalan makanan.

Bagaimanapun, kebanyakan responden menganggap makan kentang tidak mengenyangkan dan ini akan hanya menyebabkan ia perlu diambil dalam jumlah yang lebih banyak jika dibandingkan dengan nasi dan akhirnya mengakibatkan pengguna mengeluarkan belanja yang lebih membelinya.

Ada juga responden menganggap mengubah pemakanan kepada kentang bukan jalan penyelesaian kerana jika 26 juta rakyat Malaysia beralih kepada makanan itu, harganya juga akan melambung tinggi kerana permintaan sedangkan ia 100 peratus diimport.

Sehubungan itu, majoriti responden mencadangkan supaya pengguna menyambut saranan Perdana Menteri iaitu mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat untuk mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung akibat kenaikan harga barang.

Tuesday, August 5, 2008

KETAGIH KAFE SIBER vs KETAGIH DADAH



Sebagai seorang manusia, aku maklum manusia mempunyai pemikiran yang tersendiri, unik dan relevan. Walaupun pandangan itu tidak relevan pada orang lain, ia tetap relevan pada orang yang menzahirkan pandangan tadi. Seperti catatan Sabdaluka ini...Mungkin tidak relevan pada anda tetapi relevan pada aku untuk memastikan otak aku tak tumpul dan minda aku tak tepu.

Pagi tadi dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang aku terbitkan membincangkan tentang KETAGIHAN KAFE SIBER. Dua panel diundang dan seperti biasa aku menggalakkan orang ramai mengutarakan pendapat mereka menerusi SMS. Sambutannya boleh tahan...Maklum saja kisah salah-laku pelajar, kisah rumahtangga selain subsidi minyak sentiasa menjadi perhatian orang ramai.

Dalam pada sibuk menjadi penerbit, aku sempat menjeling beberapa SMS yang dihantar. Menyalahkan pihak berkuasa @ kerajaan adalah sesuatu yang lumrah saban hari. Tetap aku siarkan untuk membuktikan ketelusan aku sebagai pekerja media kerajaan. Menyalahkan ibubapa itu perkara biasa. Ada juga yang menyalahkan guru, pengusaha Kafe Siber dan macam-macam lagi jari dituding mencari punca adakah ayam atau telur yang menjadi punca kejadian ayam!

Tetapi kali ini lain sikit..Ramai penonton yang aku rasa memang kaki kafe siber menderu-deru menghantar komen SMS. Yang membuatkan aku pening-pening lipas kena spray dengan Ridsect tu apabila mereka mengandalkan ketagihan terhadap kafe siber wajar diterima secara terbuka. Kerana nasib baik mereka ketagih kafe siber daripada ketagih dadah, seks dan arak. Inilah pandangan yang aku rasa tak relevan tetapi aku terima secara terbuka kerana susuk pandang dan pengalaman kita berbeza.

Ketagihan atau kecanduan apapun membawa konotasi dan kesan yang sama. Jangan kata kasta ketagih kafe siber ini tidak sekronik ketagih dadah. Sering kita dengar ibubapa disepak terajang anak yang menagih kerana tidak memberikan duit secukupnya membeli dadah. Baru-baru ini juga sudah terpampang kanak-kanak yang ketagih kafe siber sudah pandai mengugut ibubapa untuk memberi duit demi tuntutan bermain video games..

Setiap kali melalui perbincangan yang banyak adegan tuding-menuding, aku sering bertanya diri sendiri. Mengapa semuanya menyalahkan antara satu sama lain? Kenapa tidak ada yang cuba memberikan solusi dan bertanggungjawab ke atasnya?

Mungkin aku gagal memberikan solusi atau penyelesaian terbaik. Tetapi aku berjaya menilai mentaliti masyarakat kita yang sentiasa berfikiran positif. Tak apalah ketagih kafe siber daripada ketagih dadah...Tak apalah dapat D dalam periksan daripada dapat E.

Kita dibesarkan dengan pegangan ketidakapaan...Aduhai!

Monday, August 4, 2008

KAFE SIBER OH KAFE SIBER!


Zaman aku kanak-kanak dulu sekitar lewat 80-an dan awal 90-an, kafe siber belum ada. Yang ada hanyalah kedai menjual video game, arked dan pusat hiburan keluarga biasa-biasa saja. Jadinya zaman itu aku seperti kanak-kanak riang yang lain. Membuang duit di arked kerana mama dan abah tak mampu untuk membeli game Sega, Nintendo dan yang seangkatan dengannya. Nak bertenggek di rumah kawan-kawan pula sudah tak boleh sebab mak ayah mereka tahap menyampah melihat aku bersidai di rumah mereka.

Kerana penangan video game, aku sampai sanggup ponteng sekolah demi tuntutan pada Mario Bros, Street Fighter, Antartica, Galaxy dan lain-lain. Kerana itu akhirnya mama dan abah belikan guna game ala-ala Micro Genius buatan lanun. Itu semua semata-mata mahu aku kembali duduk rumah dan tumpukan perhatian pada pelajaran.

Di era ini, kafe siber tumbuh macam cendawan. Celah mana kawasan perumahan, lot-lot kedai pasti ada sekurang-kurangnya 2 kafe siber. Apatah lagi kalau kawasan itu dekat dengan IPTA/IPTS. Soheh banyak kafe siber sementelah perniagaan ini mampu menjana untung lumayan dalam waktu yang singkat. Kalau tak silap, perniagaan ini tumbuh untuk memudahkan orang ramai mendapatkan akses internet untuk tujuan kajian, MIRC, YM dan memudahkan urusan mencari maklumat lain.

Untuk mengimarahkannya kafe siber mereka, disetiap PC akan mempunyai capaian permainan terkini seperti Ragnorak, Counter Strike (dan banyak lagi. Aku tak tahu sebab aku bukan lagi kaki game...) Dengan kos penggunaan sekitar RM 2 untuk satu jam, sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak akan berlonggok di sini dan bermain barang sejam dua. Dan isunya bukan sahaja mengapa kanak-kanak membuang masa di sini. Ia akan berkait-kait dengan isu lain iaitu menggalakkan remaja berpeleseran, membuang duit, hilang fokus pada pelajaran, merokok dan banyak lagi.

Di sekitar bandar besar, rata-rata kanak-kanak ini mempunyai komputer di rumah. Namun ada tarikan lain yang menyebabkan mereka sanggup membuang duit di kafe siber. Ini yang kebanyakan ibubapa tak tahu..Yang diorang tahu "Anak aku pergi main game entah apa yang seronok aku pun tak tahu.."

MMOG...apa tu? Multiple massive online game... yang mana memerlukan lebih daripada seorang pemain untuk menjayakan satu-satu misi permainan. Selalunya bercorak peperangan, bola sepak dan lain-lain. Itulah seronoknya bermain di kafe siber..Macam Datuk-Datuk bermain golf. Tak mahunya main seorang diri. Mesti kena ajak rakan-rakan lain. Tapi keperluan emosi beramai-ramai ini tak pernah satu pun aku baca dan dibincangkan oleh pakar-pakar. Yang selalu diorang cakap - kafe siber - buang masa - kanak-kanak berbaju sekolah - di mana peranan ibubapa?

Bagaimana dengan emosi kanak-kanak? Ataupun kehendak zaman kanak-kanak yang tidak tercapai? Aku tak nafi, ada banyak buruknya cerita di atas berbanding kesan positifnya. Tapi jangan tak tahu..Di kafe siber sekitar Shah Alam turut dikunjungi mahasiswa yang kaki permainan video secara online. Kenapa? Zaman kanak-kanaknya tak merasa benda-benda seperti ini..Tapi gagalkah mereka?

Mengambil contoh aku sendiri, yang dahulunya kaki ponteng, tahi video game dan macam-macam salah laku yang lain. Disebat dirotan dengan ranting kayu kerana tuang kelas. Rentetan pengalaman ini bukannya menjadikan aku seorang 'loser' sebaliknya pengalaman ini menjadikan siapa aku sekarang.

Apa yang nak aku sampaikan mudah...Anak-anak ada keinginan.Ibubapa ada sekatan kewangan. Tapi apa yang penting ialah pemantauan dan juga ketegasan mendidik anak. Jangan sampai anak pula berani ugut kita disebabkan ketagihan ke kafe siber..

Wednesday, July 9, 2008

Pelajar Kini Semakin Memilih?

Sudah hampir 2 minggu IPTA seluruh negara menerima siswa-siswi baru untuk sidang 2008. Tahniah aku ucapkan pada yang berjaya menempatkan diri. Tentu ibubapa anda merasa bangga, apatah lagi guru-guru sekolah yang setia mencurahkan ilmu tanpa rasa jemu. Selamat menjadi warga universiti yang berguna dan janganlah terikut gerakan bawah tanah yang bakal merosakkan CGPA anda.

Ok, intro pun dah berbunga-bunga. Belum pun panas punggung di universiti, ada pulaklah dikalangan kalian yang mengada-ngada tak mahu mendaftar, terutamanya yang dapat di Sabah dan Sarawak, di kampus cawangan dan lain-lain dengan alasan jauh dari keluarga. Alahai...nak aje aku lempang mendengar kenyataan yang gedik santai sebegitu. Itu belum masuk lagi yang menggatal nak tukar jurusan dan menggunakan kerabat-kerabat yang ada di Kementerian Pengajian Tinggi.

Aku faham...susah nak berjauhan dengan keluarga, keluarga adalah segalanya, aku anak emak dan ketiak emak lebih wangi daripada katil asrama. Aku faham sangat...Tetapi perlu diingat. Bukan senang untuk menempatkan diri dikalangan intan terpilih di Universiti. Kalian antara yang bernasib baik. Kemengada-adaan ini telah membunuh peluang puluhan ribu kawan-kawan lain yang gagal ke IPTA. Mereka ini lebih sanggup diletakkan diceruk mana sekalipun asalkan dapat masuk universiti. Apa salahnya berkorban untuk tempoh habis teruk kena repeat paper pun 5 tahun di tempat orang demi segulung Diploma/Ijazah?
Tetapi kalau diterima belajar di luar negara tidak mengapa pula.

Kesemua IPTA di Malaysia bersifat kebangsaan dan keantarabangsaan. Jika di sini pun anak-anak muda kita gagal untuk bersaing, macam mana pula kisahnya setelah melangkah ke alam pekerjaan? Sifat memilih yang melampau-lampau ini membuatkan aku jelak...sangat jelak. Kebanyakan yang memilih ini pula rata-rata anak-anak bandar yang gentar mencuba sesuatu yang baru. Bagi pelajar yang datang dari pedalaman, mereka merebut sepenuhnya peluang yang ada tanpa memikirkan jauh la, susah nak balik raya la dan hal remeh-temeh lain. Golongan ini pada mulanya susah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Tetapi apabila telah berjaya, merekalah intan yang bersinar.

Satu SMS yang aku terima semasa mengendalikan topik ini semalam mengatakan bahawa ibubapa sebenarnya yang tidak membenarkan anak-anak belajar jauh. Mereka rindukan anak-anak dan susah untuk menjenguk. Alahai....menyampah! Bukannya tak ada kemudahan IT. Bila aku fikir balik, patutlah pun...Mereka pun sebenarnya buta IT! Kesian, harap handphone ada 3G tapi nak guna tak reti..

Thursday, June 19, 2008

Kerja Luar vs Kualiti Kerja?



Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kakitangannya dalam perkhidmatan sokongan dibenarkan untuk melakukan kerja luar bagi menampung ekonomi masing-masing. Mungkin pemimpin kita sedar bahana pengurangan subsidi minyak ditambah dengan senario ekonomi yang tak menentu bakal menyesakkan otak pekerja dengan masalah duit. Ha, tak cukup prihatinkah itu? Gali dan kunyah kenyataan itu mengikut tegak condong citra pemikiran masing-masing.

Persoalannya pada aku sekarang, adakah kualiti kerja akan terjaga dalam pada kakitangannya melakukan 2 kerja? Kalau setakat kerja luar yang dilakukan menjual kuih-muih musim nak raya, kain baju kurung dan songket bagai ataupun membuat gubahan orang kawin, pada aku tak menjadi masalah besar. Bagaimana pula yang memilih untuk membawa teksi selepas waktu pejabat, bekerja di restoran makanan segera hatta buruh rencam sekalipun?

Kakitangan kerajaan yang normal masuk kerja jam 8.00 pagi dan balik jam 5 petang (9 jam). Katalah pukul 6.00 petang mereka melakukan kerja luar sampai pukul 10.00 malam (4 jam), mereka telah bekerja selama 13 jam satu hari. Oklah, kalau kudrat masih ada. Tapi bagi yang lebih agresif (bawa teksi sebagai contoh) mereka akan kerah tenaga yang ada lagi tak mahu untuk memaksimakan pendapatan harian mereka. Dengan kadar sewa teksi RM 40 setiap hari, tak mustahil ada yang sanggup bekerja antara 12.00 malam - 6.00 pagi. Ini kerana penumpang akan membayar tambang berganda untuk mana-mana destinasi dalam durasi terbabit.

Aku mengormati mereka yang bertungkus-lumus ini. Demi keluarga dan anak-anak biarlah mereka bersusah payah mencari rezeki. Jika esoknya mereka mampu datang ke pejabat dan melakukan kerja seperti biasa, semoga Allah memberkati rezeki anda hendaknya. Tapi bagaimana pula keadaannya mereka yang tersengguk-sengguk keletihan dan kemengantukan bahana melakukan kerja luar ini? Harus bagaimana kualiti kerja itu akan terpamer?

Aku sangsi dengan kemampuan mereka. Kerana kalau aku sekalipun harus melakukan kerja luar, tanpa tidur yang solid akan menjadi mumia hidup. Sudahlah sistem penyampaian kakitangan kerajaan dikritik kerana kegemaran mereka 'pass baton'. Ditambah dengan kakitangannya yang 'tak berfungsi' seperti ini, maka rompong lagilah tanggapan umum pada mereka.

Jika ada kakitangan awam yang terpaksa melakukan kerja luar, aku mohon jangan pula kompromi tenaga anda semasa dalam waktu pejabat kerana kerja itu tanggungjawab yang telah anda pikul untuk sekian lama. Rasa-rasa tak mampu badan tu, janganlah mencari kerja yang bakal menyusahkan semua pihak termasuk kesihatan anda sendiri. Kerana perangai sebegini walaupun sepicis, kesemua kakitangan awam lain menerima serbuk ladanya.

Banyak ruang untuk menambah pendapatan. Dan aku selalu tekankan pada sahabat-sahabat yang lain. Jangan sampai jadi hamba duit kerana setinggi KLCC pun duit yang kita ada, pasti tak pernah cukup. Aku selalu tekankan pada diri aku, kalau tak nak orang menyusahkan kepala otak aku, aku jangan menyusahkan kepala otak orang. Kerana aku tidak mahu orang menyusahkan kepala otak aku, inilah antara seruan yang aku buat.

Kualiti hanya ukuran kerja. Berkat tak berkat pendapatan itu pokok utama. Kalau kerja takde kualiti, macam mana nak ada berkat?

Wednesday, June 18, 2008

Gaji 2x Sebulan?

Lama aku nak mencelah dalam isu gaji ini. Kerana kesibukan masa, hasrat itu terhenti seketika. Mungkin kerana aku masih merungut-rungut tentang harga kenaikan minyak. Tanpa aku sedari, aku semakin ilmiah dalam memperkatakan isu ini. Kenapa subsidi dikurangkan, kenapa orang mempertikaikan Petronas, kenapa itu, kenapa ini dan lain-lain.

Berbalik hal gaji 2x sebulan. Tak ada satu kakitangan kerajaan (yang aku temui) bersetuju dengan pelaksanaan gaji yang bakal bermula Ogos ini. Secara peribadi, aku turut terkesima dengan berita ini. Entah bijak pandai mana yang memberi cadangan itu tak penting. Apapun, kesudian kerajaan menimbangkan kembali hal ini tetap aku sanjung tinggi. Aku setuju atau tidak? Hmmm..nyatanya lebih tak bersetuju. Kalau ikutkan apa yang kalut sangat, jangan jadi pengunjung tetap mesin ATM sebelum 25 haribulan setiap bulan, maka selamatlah wang tersebut dari perbelanjaan yang bukan-bukan.

Tapi boleh ke? Hmmmm....satu persoalan yang menimbulkan emosi pelbagai apabila didebatkan. Dari susuk pandang aku yang sederhana, aku rasa payah. Sebabnya dalam keadaan ekonomi sekarang, beban kewangan begitu ketara. Sementelah dengan kenaikan mendadak harga minyak maka lebih mencengkam kesusutan kewangan saban bulan. Itu belum masuk hal kecemasan yang memerlukan wang. Automatik akan teringat yang sebenarnya dalam akaun masih ada cairan yang boleh digunakan.

Macam-macam teori pengurusan kewangan yang disembangkan. Antaranya disiplin menentukan pokok pangkal kemana hala setiap sen disalurkan. Hakikatnya, cakap mulut yang disulami dengan reaksi meyakinkan tidak boleh membantu orang ramai dalam keadaan ekonomi yang mula menampakkan tsunaminya. Aku tahu, ada antara kalian yang mendapat gaji 2 kali sebulan dan masih boleh hidup dengan situasi itu. Aku lebih sedar keadaan pekerja freelance yang dapat gaji macam untung sabut dan tak tentu waktu.

Tapi bagi kakitangan kerajaan yang setelah sekian lama menerima gaji sekali sebulan, banyak 'adjustment' yang perlu dibuat. Perlu ingat..ada yang menolak pinjaman bank, pinjaman pembagai, Tabung Haji, ASB dan lain-lain menerusi gaji ini. Bermakna, setiap bulan masing-masing menerima lebih kurang 70% atau kurang dari gaji sepatutnya. Dengan pelaksaan sebegini, gaji yang sikit semakin terasa sikit dan tanpa sedar ramai yang kena darah tinggi dan migrain memikirkan soal duit..

Satu lagi isu yang bersabit dengan pemberian gaji 2x sebulan dan kenaikan petrol ialah kelonggaran kerajaan membenarkan kakitangan sokongan membuat kerja luar. Ini akan aku sembangkan di tulisan yang mendatang. Itu belum masuk dengan pelaksanaan bersara wajib dilanjutkan sampai umur 58 tahun. Hai, selepas ini apa lagi? Jangan pula ada cadangan yang bijak pandai melaksanakan gaji setiap minggu atau lebih kronik gaji hari.

Cuma satu yang pasti, kakitangan kerajaan merungut-rungut gaji 2x sebulan, gaji anda tetap masuk juga. Kenang-kenangkanlah sahabat handai yang memperjuangkan gaji mereka yang kadang-kadang tak kunjung masuk saban bulan...Jadi, bawak-bawaklah bertenang yob...

Thursday, June 5, 2008

Impak Penstrukturan Semula Subsidi


Berkuatkuasa 38 minit semasa artikel ini ditulis, dengan rasminya harga minyak dan diesel seluruh negara naik RM0.78 dan RM 1.00. Kenaikan ini tak dapat dibendung kerana kerajaan tak mampu lagi menanggung subsidi kos kenaikan minyak mentah yang mencanak-canak naik. Sedari selasa apabila semua suratkhabar harian mewar-warkan Rabu tadi PM akan umumkan penstrukturan subsidi baru aku sudah mula terasa, pengumuman kali ini pasti pasti bukan satu khabar gembira buat rakyat Malaysia apatah lagi rakyat Thailand dan Singapura yang duduk bersempadan dengan negara yang kita cintai ini..

Umum tahu, harga minyak tak akan turun. Tak pernah terjadi pun dalam sejarah dunia harga minyak akan turun apabila ekonomi mana-mana negara berkembang. Kerana kita sudah terbiasa dengan subsidi, maka kenaikan kali ini memang begitu ampun kesannya. Walaupun pada hakikatnya kita masih mendapat subsidi dan harga minyak kita lebih murah dari negara lain, tetapi berdasarkan kelembapan ekonomi, kos sara hidup yang semakin tinggi dan faktor-faktor lain, pada aku menaikan kali ini memang tak munasabah.Aku dapat membayangkan selepas ini harga makanan, pengangkutan dan juga barangan lain turut naik mendadak, selaras dengan kenaikan harga minyak.

Aku membayangkan setidaknya ia akan naik lingkungan RM 0.30 - RM 0.50 sahaja.Ok, takpelah kalau naik lebih dari itu sebab kerajaan ada justifikasinya sendiri. Yang buat aku pelik, kenapa umumkan hari Rabu dan kenaikan itu berkuatkuasa hari Khamis? Tak sampai 24 jam. Impaknya, SESAK SATU NEGARA!!!!! Semua orang begitu bersemangat waja meredah kesesakan jalanraya, beratur berjam-jam lamanya semata-mata untuk berjimat lebih kurang RM 40.00. Padahal kalau esok tangki kereta kosong mereka terpaksa membayar harga yang telag diselaraskan juga..

Bila dah lama tersangkut dalam kesesakan jalanraya, bukan sahaja api amarah pun mula membakar, caci maki turut menyusul dan bertambahlah dosa kering yang dibuat. Aku terfikir, kalau dalam kesesakan tadi ada rumah yang terbakar, alamat dah rentung barulah bomba sampai. Kalau menunggu ambulance sampai rasanya dah mati pun siapa-siapa yang bernasib malang itu.

Apa salahnya kenaikan itu dibuat hari Jumaat? Setidak-tidaknya kita sudah bersedia dan boleh memilih bukan waktu puncak untuk memenuhkan tangki kereta. Dalam keadaan notis sesingkat itu, banyak buruk dari baiknya dan aku pelik yang ahli mesyuarat tidak terfikirkah masalah semudah ini? Tak mungkin jatuh muflis pun kalau lewat satu hari untuk menaikkan harga minyak dan diesel.

Sempat aku terfikir, kalau Tun Dr. Mahathir masih menjadi Perdana Menteri, bagaimanakah beliau menangani persoalan ini. Aku tak kata PM ini bagus, ini tidak. Kalau aku sempat berada zaman Tunku Abdul Rahman pun aku akan bertanya bagaimana beliau menangani masalah ini. Cuma satu yang aku yakin, Tun akan menaikkan harga minyak. Itu pasti..tapi bukan setinggi dan sedrastik ini. Kalau drastik pun, pasti ada beliau memberikan masa kepada kita untuk menerima berita ini.

Dulu, sebelum PM umumkan kenaikan gaji kakitangan kerajaan, hidup pekerja sektor ini betul-betul seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dengan kenaikan gaji tahun lalu, hidup seperti cukup makan dan separa selesa. Dalam situasi sekarang, maknanya servis bertukar tangan!

Hmmm...buat kakitangan kerajaan - beranganlah nak ada bonus tahun ini!

Jumaat ini siapa yang sempat silalah menonton Selamat Pagi Malaysia dari 8.00 pagi - 8.30 pagi kerana kami membincangkan isu Impak Penstrukturan Semula Subsidi. Jika mendapat restu, aku akan lanjutkan perbincangan seandainya sessi perbincangan mendapat respon yang menggalakkan dari penonton.

Saturday, May 24, 2008

Bukan Milik Kita..


Permulaannya begitu meyakinkan. Hujah yang diberi seolah memberi bayangan kita akan mendapat kedaulatannya. Namun itulah hakikat yang sangat pahit untuk ditelan..Kita kehilangan Pulau Batu Puteh, walaupun berjaya mendapat kedaulatan Middle Rocks. Hmmm...aku sangat kecewa, tapi tiada apa lagi yang boleh dilakukan.

Sedari pagi semalam, RTM menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia mula memberi informasi dan menyeru warga Malaysia untuk stay tune di Saluran Inforia. RTM mendapat hak eksklusif menyiarkan keputusan pengumuman secara langsung dari The Hague, Belanda. Percayalah, bukannya satu tugas yang mudah untuk aku sebagai penerbit rancangan pada hari itu. Setiap bahan berhubung isu tuntutan ini perlu relevan dan up-to-date. Aku sendiri berhubung terus dengan wartawan RTM di The Hague untuk menyelaraskan beberapa perkara sebelum aku memulakan siaran semalam.

Untuk mendapat tokoh akademik bercakap perihal kes ini juga menuntut kesabaran yang sangat tinggi. Aku dan Sayed Munawar akhirnya berjaya juga mendapatkan seseorang. Tetapi saat akhir, ada sedikit masalah yang tak dapat dielakkan. Secara peribadi, aku respect Sayed Munawar sebab pada aku, beliau berjaya menjadi perantara yang efektif semalam - berbanding wartawan yang apa kena dengannya semalam pun aku tak tahu!?

Tutup kisah in, kerana apa juga point yang kita ada, kes dah tutup. Sudah tiada mahkamah mana celah di dunia pun akan membicarakan kes ini. Semoga menjadi pengajaran kepada kita sebagai warga Malaysia untuk memahami dan menghayati sejarah.



Batu Putih hak Singapura - ICJ juga putuskan Middle Rocks kepunyaan Malaysia
Daripada NORAINI ABD. RAZAK

THE HAGUE, Belanda 23 Mei – Pertikaian mengenai status Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.

Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pemangku Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh ketika membaca keputusan kes tuntutan bertindih itu berkata, status mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih diputuskan oleh majoriti 12-4 hakim, manakala majoriti 15-1 hakim pula bersetuju berhubung kedudukan Middle Rocks dan South Ledge.

Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih.

“Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api.

“Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, adalah menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut.

“Oleh itu mahkamah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat yang mempengerusikan persidangan ICJ bagi memutuskan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Beliau bersidang bersama 15 orang hakim lain.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura mengemukakan nota bantahan kepada Malaysia menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.

Tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge pula hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara berhubung pertikaian Pulau Batu Putih.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia dan Singapura melalui satu perjanjian yang dimeterai di Putrajaya pada 6 Februari 2003 bersetuju untuk merujuk pertikaian sempadan berhubung Pulau Batu Putih kepada ICJ.

Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura. Kedua-dua negara akan menerima keputusan mahkamah sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak.”

Selepas menghantar memorial (hujah bertulis), kedua-dua negara memulakan hujah lisan pada 6 hingga 23 November lalu.

Memetik penghakiman kes tersebut secara lebih terperinci, Shawkat berkata, fakta kes menunjukkan bahawa sebaik sahaja menerima surat balasan dari Johor, Setiausaha Koloni Singapura telah menghantar satu memorandum dalaman kepada Peguam Negara yang menyebut bahawa beliau berpendapat “berdasarkan kekuatan surat jawapan itu, kita boleh menuntut Pedra Branca.”

Selain surat dari Johor pada 1953, mahkamah turut berpandukan kepada fakta kes berhubung tindak tanduk United Kingdom dan Singapura di Pulau Batu Putih yang menurut ICJ tidak terbatas kepada penyelenggara rumah api semata-mata.

Shawkat berkata, mahkamah berpendapat bahawa tindakan-tindakan Singapura termasuk menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya jelas menunjukkan wujud a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) terutama selepas tahun 1953.

Malaysia, katanya, tidak menunjukkan tindak balas dalam bentuk apa sekali pun terhadap kegiatan-kegiatan Singapura malah pihak berkuasa Johor gagal melakukan sebarang tindakan ke atas Pulau Batu Putih bermula dari Jun 1850.

Lebih daripada itu, jelas beliau, keputusan mahkamah memihak kepada Singapura didorong oleh fakta republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih.

Tuntutan

“Tindak tanduk itu dilihat menunjukkan wujudnya kedaulatan dan memberi sokongan yang amat penting kepada tuntutan Singapura terhadap kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat.

Shawkat yang mengetuai kumpulan 16 hakim termasuk dua hakim ad hoc yang masing-masing dilantik oleh Malaysia dan Singapura turut menarik perhatian mahkamah mengenai kegagalan Malaysia membantah pengibaran panji-panji British dan Singapura di Rumah Api Horsburgh di pulau itu yang turut memberi kesan kepada kes tuntutan bertindih itu.

Selain itu, enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia antara tahun 1962 dan 1975 yang dipertikaikan oleh Singapura kerana tertera perkataan ‘Lighthouse, P. Batu Puteh, (Horsburgh) (SINGAPORE) atau (SINGAPURA)' di Pulau Batu Putih turut menjadi rujukan ICJ yang disifatkan oleh barisan hakim sebagai mengesahkan bahawa Malaysia menganggap pulau itu adalah di bawah kedaulatan republik berkenaan.

“Mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan titre de souverain Singapura, selain tindak-tanduk Malaysia termasuk kegagalannya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan republik itu, bahawa pada 1980 kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Singapura,” katanya.

Mengenai Middle Rocks, Shawkat berkata, bentuk maritim itu mempunyai status undang-undang yang sama dengan Pulau Batu Putih dari sudut sejarahnya iaitu kedaulatannya adalah di bawah kesultanan Johor.

Katanya, mengambil kira fakta tersebut, penyerahan Pulau Batu Putih kepada Singapura yang didorong oleh surat pada 1953 dan kegagalan Malaysia bertindak balas terhadap tindak tanduk republik itu tidak memberi kesan kepada Middle Rocks.

Oleh itu, jelas Shawkat, hak milik asal Middle Rocks kekal kepada Malaysia yang mewarisi kesultanan Johor, kecuali terbukti sebaliknya di mana mahkamah mendapati Singapura tidak mengemukakan sebarang bukti yang bertentangan.

Dalam keputusan mengenai hak milik South Ledge pula, kata Shawkat, mahkamah berpendapat bentuk maritim itu berada di perairan bertindih antara Pulau Batu Putih yang kini menjadi milik Singapura dan Middle Rocks yang kekal bersama Malaysia.

“Mahkamah hanya diminta untuk memutuskan kedaulatan ketiga-tiga bentuk maritim itu secara berasingan dan pada masa yang sama mahkamah tidak diberi kuasa untuk menetapkan garis persempadanan wilayah perairan Malaysia dan Singapura.

“Dalam hal ini, mahkamah merumuskan kedaulatan South Ledge adalah milik negara yang perairannya terletak bentuk maritim itu,” kata beliau.

Delegasi Malaysia ke ICJ hari ini diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Ejen Malaysia dan Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; Ejen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa; dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Johor.

Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia pula terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, James Crawford, Nicolaas Jan Schrijver, Marcelo G. Kohen, dan Penelope Nevill. Lauterpacht bagaimanapun tidak hadir hari ini.

Singapura pula diwakili antara lain oleh Timbalan Perdana Menteri, S. Jayakumar; Ketua Hakim, Chan Sek Keong; Duta Kembara, Tommy Koh; dan Duta Anil Kumar Nayar.

– Utusan

Wednesday, May 14, 2008

Krisis Makanan?



Sepanjang 2 bulan lalu, kecoh isu beras, kekurangan bekalan makananan, Bernas, Padi Negara dll. Macam mana aku boleh tahu semua benda ini? Sebabnya inilah topik popular Selamat Pagi Malaysia sepanjang 2 bulan lalu hingga ini. Dari naif langsung, aku setidak-tidaknya memahami punca, sebab, akibat dan langkah-langkah menangani krisis makanan.

Tadi SPM Edisi Selasa membincangkan topik ini dengan wakil FOMCA. Secara peribadi, topik ini pada aku merupakan topik rolling saja. Maknanya kita pernah buat, tapi buat balik dari angel yang lain. Semuanya berjalan lancar dan syukurlah caller yang telefon pun semuanya yang berakal.Kalau ada yang emosional pun Shuhaimi selaku perngacara berjaya menyelamatkan keadaan.

Krisis makanan kali terakhir terjadi pada 1973. Aku belum lahir pun waktu itu. Tahun ini dijangka berlaku sekali lagi krisis makanan tapi dengan impak yang lebih mencengkam bahana kenaikan harga minyak mentah, siri bencana alam dan juga gaya hidup masyarakat dunia yang semakin mewah. Cabaran dan persoalannya sekarang, bagaimana usaha kerajaan dapat mengurangkan beban rakyat?

Adakah kerajaan akan menurunkan harga, memberi subsidi? Atau mengadakan sekatan pembelian? Menubuhkan jawatankuasa bla..bla..bla. Aku setuju dengan pendapat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, kerajaan tidak seharusnya menggunakan pendekatan popular - menurunkan harga dan memberi subsidi. Kerana apa? Kerana manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada. Bagaimana pula keadaannya kalau kerajaan pun dah tak mampu nak menanggung subsidi dan tiba-tiba rakyat kena membayar harga yang sudah bertambah melambung? Ah...darurat jadinya..dan rakyat berantakan.

Apa yang penting pada aku ialah memahamkan rakyat tentang punca krisis..Dari kenaikan bahan mentah, fenomena cuaca yang tidak menyebelahi pengeluaran tanaman dan gaya hidup masyarakat dunia sendiri yang semakin boros.

Aku sempat membaca satu blog dari Indonesia yang menyarankan agar kita menukar corak pemakanan kepada vegetarian. Di Malaysia pula dicadangkan makan nasi separuh pinggan, sekali sehari dan berpada-pada dengan pengambilannya disamping mampu mengurangkan obesiti yang semakin menjadi-jadi. Hakikatnya, pelaksanaannya bukan mudah. Nasi makanan ruji..mana mungkin bole tukar makan roti, atau sayur secara drastik.

Fenomena krisis bekalan baru hendak bermula di Malaysia. Impaknya belum terasa sangat kerana kita tidak ditimpa bencana alam yang nyata. Tapi dalam pemerhatian aku rata-rata tidak peduli pun hal ini. Hmmm....sebab baru nak bermula. Dah mula nanti, tak cukup Giant nak cari beras!

Monday, May 12, 2008

Aduh, Yang Berhormat



Apabila diadakan siaran langsung persidangan dari parlimen, aku mengharapkan adanya perbincangan yang membina untuk mencari penyelesaian tentang apa juga isu yang di bahas. Baru hari pertama, label-melabel sudah berkumandang. Nasib baik belum ada kes tumbuk-menumbuk membuka tirai persidangan 2008.

Ahli parlimen yang ada dalam dewan bukannya calang-calang manusia. Ada peguam, ada itu, ada ini dan masing-masing berpelajaran tinggi. Melihatkan lintas langsung dari parlimen hari ini aku bukan setakat tersenyum sendiri, aku bantai gelak. Baik kerajaan, baik pembangkang pandai sungguh buat lawak di dewan yang mulia itu. Aku sempat terfikir, kerana ia siaran langsung jadi sedemikian rupa ataupun AP yang dipilih sidang ini memang sebegitu lakunya.

Apa nasib kita sebagai rakyat sudahnya? Kalau suara yang kita pilih sebenarnya suara radio speaker pecah yang hanya membingitkan telinga dan bercakap hanya untuk menghangatkan suasana. Ini masanya untuk tunjukkan kepada rakyat siapa ayam sabung paling hebat. Itu aku faham..semua mahu spotlight memancar di muka. Tapi ahli yang berhormat semua kena sedar..Jangan sampai menang sorak saja, kampung tergadai!

Aku tak pro siapa-siapa. Jika ada isu yang dibangkitkan itu relevan, walau siapapun yang bangkitkan aku akan sokong. Kadang-kala aku rasa ahli yang berhormat kena pergi kursus adab sebab masing-masing macam tak tahu aje adab. Celah-mencelah tak tentu hala, terpekik macam mic kat depan tu rosak dan yang paling teruk, lihatlah ekspresi muka masing-masing masa tengak marah. Ya, tuhan...lebih buruk dari segala benda yang buruk. Kena belajar anger management sekali dalam modul kursus itu..

Aku dengki sebenarnya..dengki sebab aku tak ada suara dalam dewan yang mulia itu. Dengki sebab setidak-tidaknya ada isu masyarakat yang boleh aku dibangkitkan, ada asas yang hendak aku ketengahkan. Tersangatlah dengki pada ahli yang berhormat yang dipilih oleh rakyat tapi setakat duduk bersejuk-sejuk dalam dewan parlimen. Buat lebih jaki, ketuk meja kuat-kuat dan terpekik-pekik macam bagus setakat buat kecoh!

Tuesday, April 22, 2008

Ada Apa Dengan Blog?


Sejak kecoh isu babi, aku tak jumpa apa cerita menarik untuk aku catatkan dalam ruangan sederhana ini. Ada juga beberapa isu yang cuba aku tulis seperti Regatta Lepa, Sufiah, Adik Azreen dan macam-macam nama lagi kecuali kisah Kikin dan Wiwi yang buat aku muak menyelak ruangan hiburan.

Tetapi membaca satu artikel Berita Harian dengan tajuk 'Penangan Blog' oleh saudara Ziauddin Sharuddin membuat kepala otak aku berputar sekali lagi - setelah tepu untuk satu waktu yang lama. Memang tidak dinafikan kuasa blog dan penangannya pada PRU 12 yang lalu. Rasanya ada aku catat secara sepintas lalu dalam artikel yang lain, di laman web ini.

Ada apa dengan blog? Di Malaysia blog politik memang laku. Cari saja di carian laman sesawang. Maka keluarlah segala macam URL catatan pemimpin politik, pemerhati politik, marhaen dan juga penulis nyamuk tidak bergaji. Tapi banyaknya kalau laman blog politik ini pastinya milik pembangkang (yang sekarang berjaya membentuk kerajaan negeri). Tapi bukan blog politik yang aku cuba ketengahkan.

Apa juga topik - sukan, hiburan, ekonomi, sosial. Ada saja laman blog yang merancakkan lagi bidang penulisan secara maya. Baguslah juga..setidaknya kita membentuk masyarakat yang terbuka IT dan mempunyai semangat meluahkan pendapat secara bertulis. Persoalannya, Semudah itukah menjadi blogger? Ini soalan subjektif...Pada aku, Ya, sangat mudah menjadi blogger. Bijak pandai mempunyai definasi mereka sendiri tentang istilah dan konotasi blogger. Pada aku yang masih muda ini, blog merupakan pelampiasan pendapat diruang maya, yang boleh diakses oleh pembaca, berbentuk tulisan atau bergambar atau keduanya. Kalau tidak boleh diakses, hmmm..itu kategori diari maya. Yang menulisnya pula, itulah blogger. Apa yang dtulis tidak penting, kerana tidak ada satu garis panduan yang nyata tentang apa yang boleh dan apa yang tidak untuk dicatatkan.

Secara peribadi, aku tidak bersetuju apabila penulis mengatakan blogger yang hanya memuatkan luahan hati kecewa, putus harapan dan sebagainya selayaknya dimasukkan ke dalam bakul sampah. Menulis topik itu sesuatu yang peribadi. Mungkin dengan cara menulis luahan jiwa retak seperti itu boleh mengurangkan tekanan yang mereka rasa. Lagipun pembaca bukannya perlu membayar untuk membaca blog sepert itu. Kita sendiri pilih apa kita nak baca. Kalau rasa geli-geleman tu, pangkah ajelah dan teruskan dengan bacaan ilmiah yang lain. Lagipun luahan seperti itu turut memeriahkan dunia penulisan hiburan khususnya dalam majalah hiburan dan majalah/suratkhabar nyamuk yang lain, maknanya ia diterima pakai juga dalam arena penulisan.Lagi satu, jangan samakan penulisan amatur dengan penulisan mereka yang bernama wartawan. Golongan ini mungkin tidak belajar Kewartawanan, tetapi mempunyai minat penulisan yang tinggi - walaupun tatabahasa, kosa kata yang tunggang-langgang!

Apapun, aku hormati blogger-blogger yang berani menulis apa juga yang mereka rasa. Betul atau salah, biarlah akal manusia saja yang menelanjangkannya. Tapi hakikat pembohongan yang diulang-ulang itu dianggap benar memang menakutkan. Mungkin mereka yang bertanggungjawap menyedari penipuan itu sedang marak disebarkan patut meminta pihak yang berwajib mengambil tindakan. Hmm..lupakan ajelah. Mereka pun tak sedar keupayaan IT, tak membaca blog dan tak punya laman blog pun. Blog tu apa? Ha..ha..ha..


Penangan blog
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@nstp.com.my
MAJALAH Time pada 2006 mencatat sejarah apabila menamakan komputer sebagai `Person of the Year’ atau tokoh tahun ini. Anda. Ya, anda. Anda menguasai era maklumat. Selamat datang ke dunia anda. Inilah kata-kata muka depan majalah itu.

Ledakan pertumbuhan dan pengaruh hasil kandungan internet, terutama blog diiktiraf di peringkat global dua tahun lalu. Tahun ini, blog dan blogger menerima pengiktirafan di negara ini apabila kuasa dan pengaruhnya mula diakui.

Keputusan pilihan raya umum ke-12 yang dipengaruhi oleh blog dan blogger adalah bukti utama. Kini tiada siapa dapat menafikan bahawa media baru ini mempunyai kedudukan, fungsi dan tanggungjawab dalam dunia maklumat.



Blog media baru berpengaruh

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, sesiapa yang mengaku mempunyai blog dan bergelar penulis blog (blogger), dipandang seperti makhluk asing. Kini anda boleh membaca kira-kira 500,000 blog yang diwujudkan blogger negara ini.

Kemunculan blog hanya mula diperkatakan sejak beberapa tahun lalu walaupun perhatian lebih tertumpu kepada blog politik.

Bagaimanapun, keadaan berubah secara drastik sejak kebelakangan ini. Ramai yang bercakap mengenai blog dan menjadi blogger.

Kehangatan pengaruh blog dikaitkan dengan kempen pilihan raya umum ke-12 lalu apabila blog yang dikategorikan sebagai media baru digunakan secara berkesan sama ada oleh individu mahu pun parti politik.

Mengulas perkembangan blog di negara ini, Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata antara perintis kemunculan blog di negara ini adalah sekumpulan blogger yang membentuk komuniti Geng Journal pada 1998.

Ketika majoriti masyarakat masih buta mengenai blog, katanya blogger seperti Tok Rimau dan Bluehikari merintis minat terhadap blog.

Beliau berkata, perkembangan blog meningkat selepas insiden politik membabitkan penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dituruti kemunculan pelbagai blog seperti Mahazalim dan Mahafiraun.

Sejak empat tahun lalu, katanya perkembangan blog mula memberangsangkan, tetapi masih tidak disedari dan dipedulikan hingga Pilihan Raya Umum Ke-12, bulan lalu, blog menonjolkan pengaruh sebagai media baru yang memberi kesan besar.

Bluehikari atau nama sebenarnya, Ludinata Misnun, berkata ketika Tok Rimau, iaitu bekas Presiden Geng Jurnal membentangkan kertas penyelidikan bertajuk Web Log: Kuasa menerbit di hujung jari dalam satu seminar peringkat kebangsaan pada 2002, isu blog yang dibentangkan itu kurang mendapat sambutan.

Selain itu, katanya membuat blog ketika itu lebih susah kerana prosesnya sama seperti membina laman web yang perlu membuat reka bentuk sendiri.

Katanya, zaman sekarang untuk berblog sangat mudah kerana ada laman web menyediakan kemudahan blog seperti Blogspot, Wordpress atau Diaryland. Hanya perlu daftar, pilih reka bentuk diminati dan mula menulis.

Hari ini, ramai yang bergelar blogger, tetapi semudah itukah menjadi blogger? Rebecca Blood, seorang blogger veteran yang juga pengarang The Weblog Handbook, menyatakan blogger adalah mereka yang sangat berminat terhadap web.

Evan Williams yang mengasaskan Blogger.com pula berpandangan bahawa blogger adalah golongan muda yang menggunakan blog untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya.

Sudah tentu hari ini, ada blogger veteran berumur lingkungan 50-an atau lebih tua, tetapi majoriti blogger adalah golongan muda yang dinamik, luar biasa, mempunyai pendirian dan tidak takut melahirkan pandangan mereka.

Setiap orang boleh memberi 1001 macam alasan untuk memiliki blog, tetapi blogger adalah seorang yang tahu menghargai pandangannya.

Tanyalah kepada sesiapa yang memiliki blog. Mengemas kini blog setiap hari menyebabkan dirinya mempertimbangkan pandangannya dengan berhati-hati serta berasakan pandangannya unik dan perlu disuarakan.

Pada masa sama, ada ramai blogger yang hanya memuatkan luahan hati kecewa, putus harapan dan meracau tidak tentu hala. Blog begini selayaknya dimasukkan ke dalam bakul sampah.

Seorang blogger harus mampu melahirkan dirinya dalam penulisan, mahu berkomunikasi dengan orang lain dan berterus terang.

Blogger, Yasser Arafat Ishak yang dikenali sebagai Jiwarasa berkata, blog yang baik selalunya akan mendapat perhatian dan ibarat pasaran terbuka yang pengunjung mempunyai pilihan. Blog yang baru sering meletakkan alamat blog yang bagus di blog masing-masing.

Katanya, memuatkan blog yang bagus di blog masing-masing bagaikan satu trend untuk menempatkan diri dalam kelompok blog.

“Pengunjung blog juga cerdik dan bijak memilih bahan yang baik. Mereka selalunya akan membuat rujukan silang di mesin carian Yahoo dan Google untuk mendapat kepastian sesuatu fakta yang ditulis di blog,” katanya.

Apakah faktor yang menyebabkan blog popular? Sifat interaktif adalah punca menyebabkan blog mendapat perhatian ramai. Semua orang berpeluang memberikan pandangan walaupun tidak semua pandangan itu bernilai.

Blog bukan saja membolehkan blogger memberikan pandangan mengenai sesuatu isu, tetapi pembaca menyuarakan pandangan masing-masing. Anda mahu bersetuju, membangkang, menambah maklumat dan fakta baru. Semuanya dalam blog.

Blogger perlu ada sikap kawal selia kendiri

LESEN besar penulis blog (blogger) untuk menulis mengenai apa saja di atas muka bumi ini menimbulkan banyak persoalan.

Melihat sesetengah blog, penulisan bukan berisi fakta dan kebenaran, tetapi penuh dengan fitnah, kepalsuan dan bersumberkan khabar angin.

Malangnya, apa yang ditulis dipercayai sebagai suatu kebenaran. Dalam teori komunikasi, apabila sesuatu pembohongan diulang-ulang, maka pembohongan itu dianggap benar. Dalam blog, proses yang sama juga berlaku.

Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata sebelum pilihan raya umum ke-12 lalu, ada anggapan bahawa harga rumah melambung naik di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah.

Katanya, anggapan itu berlegar dalam dunia blog dan maklumat itu tidak diketahui ketepatan serta kesahihannya.

“Tiada siapa tahu perkara ini, tetapi anggapan ini wujud di kalangan masyarakat negeri berkenaan. Oleh kerana tiada siapa menafikan maklumat ini, maka maklumat yang disebarkan melalui blog dianggap benar,” katanya.

Dalam era perang maklumat, katanya blog membentuk maklumat dan sama ada maklumat itu tepat atau sahih adalah perkara kedua.

Bagaimanapun, blogger tidak dibiarkan bebas sewenang-wenang. Di Singapura, dua etnik Cina dipenjarakan mengikut Akta Hasutan negara itu kerana memuatkan kenyataan anti Islam dalam blog mereka.

Tahun lalu di Mesir, blogger Abdel Monem Mahmoud, ditangkap kerana menulis kenyataan anti kerajaan.

Di negara ini, tiada undang-undang secara khusus boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap blogger dan blog. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hanya bertanggungjawab menyelia infrastruktur sesebuah laman web dan bukan memantau laman web yang menyeleweng.

Bagaimanapun, Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membolehkan individu yang menyalahgunakan Internet bagi menyebarkan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau yang jelik dikenakan tindakan.

Selain itu, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Kanun Keseksaan boleh digunakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab. Sudah ada beberapa kes blogger di negara ini disaman kerana tulisan mereka.

Keputusan Mahkamah Tinggi Alor Star supaya pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, membayar ganti rugi RM4 juta kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Naib Canselornya, Tan Sri Dr Nordin Kardi, kerana memfitnah melalui artikel disiarkan dalam blognya pada 2006 adalah antara kes utama.

Bagaimanapun, undang-undang bukan jawapan terhadap persoalan ini. Menubuhkan polis siber seperti di sesetengah negara juga bukan penyelesaian terbaik.

Harus ada kerelaan daripada blogger untuk bekerjasama dengan kerajaan membangunkan kod etika yang boleh diguna pakai di Malaysia. Lebih baik sikap kawal selia kendiri wujud di kalangan blogger berbanding pihak lain yang memaksanya.

Friday, April 11, 2008

Babi Oh Babi


Ada seekor anak babi, jalannya tunduk aje. Bila binatang lain tanya, 'eh, babi. Kenapa kau jalan tunduk?"
Babi tu jawab - aku malu sebab aku babi...
Babi pun tau malu.. ha..ha..ha.. Ini hanya lawak jenaka tak bermoral yang popular sepanjang zaman. Siapa yang reka tak penting. Apa yang penting, lucunya boleh buat aku tersenyum sambil dalam hati menyumpah orang yang bagi soalan tu. Babi betul!

Sebelum aku jauh menulis, aku nak rakamkan segunung tahniah pada rakyat Selangor kerana atas pilihan mereka, kerajaan Selangor yang rata-rata Melayu penduduknya akan membelanjakan RM 100 juta untuk projek penternakan Babi. Dalam tempoh 5 tahun, tentu kome bangga. Negara pengeluar Babi terbesar ialah Selangor Darul Ehsan..Tentu pakcik makcik yang memangkah untuk masuk syurga mula berfikir, betul ke akan masuk syurga kalau aku merelakan projek mega yang tak setaraf NCER ni?

Kenapa aku menulis pasal babi? Tak ada topik lain ke untuk dicoretkan dalam blog ini. Jawapan aku, memang tak ada. Semua suratkhabar cerita pasal babi. Harakah aku tak tahu, tapi rasanya tak kot. Sebab inikan keputusan kerajaan campuran yang parti mereka turut bernaung sama. Sebab babi, aku naik mual nak baca suratkhabar termasuklah nak menonton berita kerana berita utamanya binatang ini la jugak.

Aku suka statement YB nie.."Babi pun makhluk Tuhan juga..."
Siapa pulak yang kata tidak?

Kalau ikut aku, nak ternak mermaid pun tak apa, asalkan betul caranya. Kena pastikan saluran kumbahan itu tidak disalirkan ke laut dan sungai. Kemudian ternaklah dikawasan yang jauh dari petempatan manusia. Jadi kalau ada jangkitan J.E ke, Nipah ke ketupat ke takde la hamba rakyat juga yang menderita. Bau tak payah cakaplah...Angin petang pun bertiup sepoi-sepoi bahasa oink...oink...oink..

Bukan tak bagus nak ternak babi..Keuntungannya boleh juga digunakan untuk pembangunan bukan islam. Tak ada masalah sebenarnya sebab babi juga sumber protein dan berpotensi menjadi satu komoditi. Orang Islam yang menjaga akad sahaja yang tidak akan tergamak untuk membahamnya kerana telah tersurat babi itu haram. Kalau tidak, masakan jika ada lori babi terbalik kita lebih rela langgar tembok daripada langgar babi! Tapi jika orang bukan Islam yang makan, itu hak mereka la...Isunya pada aku, pelaksanaan dan lokasi yang sedikit mengarut.

Pada aku la, daripada ternak babi baiklah ternak ular sawa ke, biawak ke, musang ke atau apa juga binatang yang menjadi hidangan eksotik. Di Malaysia aku belum dengar la pulak virus berjangkit yang disebabkan binatang-binatang ini.Selain memberi peluang penggemar makanan tadi menjimatkan wang makan di Malaysia, setidaknya ada jugalah usaha untuk memastikan spesis binatang ini tidak pupus.Tak pun gunakan wang itu untuk memajukan pertanian. Takdelah kecoh satu Malaysia bekalan beras berkurangan...Import pun kurang.

Hmmm...daripada ternak babi, duit itu digunakan untuk ternak ayam. Tak adalah harga ayam naik menjelang musim raya. Negeri Selangor jugak antara negeri yang kurang bekalan ayam. Aku tak pernah dengar harga daging babi naik menjelang Tahun Baru China. Mungkin sebab aku tak baca paper cina....

Babi memang makhluk tuhan juga. Tentu ada sebab tuhan bagi babi peluang menumpang di dunia. Macam syaitan bagi masyarakat Islam dan semangat jahat bagi yang bukan Islam - demon ke, evil ke..membawa pemahaman yang hampir sama. Dan tentu ada sebab kewujudannya. Rasa aku pengajaran yang perlu kita gali ialah yang baik kita ikuti, yang buruk kita tinggalkan. Tapi kalau buruk bukan untuk dikeji, sebaiknya dikaji kenapa benda itu memberi kesan sedemikian. Jadikanlah babi kajian ilmiah untuk mendapat jawapan kenapa, bagaimana, bila, di mana dan mengapa. Ini lebih baik daripada bertegas-tegas nak menternak babi besar-besaran, tapi usahanya belum nyata. Bersikit-sikit dahulu, barulah berbesar-besaran..

Aku tinggalkan dengan satu frasa -
kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
kerana undi anda rela, Kerana babi, kita kena bala