Tuesday, April 22, 2008

Ada Apa Dengan Blog?


Sejak kecoh isu babi, aku tak jumpa apa cerita menarik untuk aku catatkan dalam ruangan sederhana ini. Ada juga beberapa isu yang cuba aku tulis seperti Regatta Lepa, Sufiah, Adik Azreen dan macam-macam nama lagi kecuali kisah Kikin dan Wiwi yang buat aku muak menyelak ruangan hiburan.

Tetapi membaca satu artikel Berita Harian dengan tajuk 'Penangan Blog' oleh saudara Ziauddin Sharuddin membuat kepala otak aku berputar sekali lagi - setelah tepu untuk satu waktu yang lama. Memang tidak dinafikan kuasa blog dan penangannya pada PRU 12 yang lalu. Rasanya ada aku catat secara sepintas lalu dalam artikel yang lain, di laman web ini.

Ada apa dengan blog? Di Malaysia blog politik memang laku. Cari saja di carian laman sesawang. Maka keluarlah segala macam URL catatan pemimpin politik, pemerhati politik, marhaen dan juga penulis nyamuk tidak bergaji. Tapi banyaknya kalau laman blog politik ini pastinya milik pembangkang (yang sekarang berjaya membentuk kerajaan negeri). Tapi bukan blog politik yang aku cuba ketengahkan.

Apa juga topik - sukan, hiburan, ekonomi, sosial. Ada saja laman blog yang merancakkan lagi bidang penulisan secara maya. Baguslah juga..setidaknya kita membentuk masyarakat yang terbuka IT dan mempunyai semangat meluahkan pendapat secara bertulis. Persoalannya, Semudah itukah menjadi blogger? Ini soalan subjektif...Pada aku, Ya, sangat mudah menjadi blogger. Bijak pandai mempunyai definasi mereka sendiri tentang istilah dan konotasi blogger. Pada aku yang masih muda ini, blog merupakan pelampiasan pendapat diruang maya, yang boleh diakses oleh pembaca, berbentuk tulisan atau bergambar atau keduanya. Kalau tidak boleh diakses, hmmm..itu kategori diari maya. Yang menulisnya pula, itulah blogger. Apa yang dtulis tidak penting, kerana tidak ada satu garis panduan yang nyata tentang apa yang boleh dan apa yang tidak untuk dicatatkan.

Secara peribadi, aku tidak bersetuju apabila penulis mengatakan blogger yang hanya memuatkan luahan hati kecewa, putus harapan dan sebagainya selayaknya dimasukkan ke dalam bakul sampah. Menulis topik itu sesuatu yang peribadi. Mungkin dengan cara menulis luahan jiwa retak seperti itu boleh mengurangkan tekanan yang mereka rasa. Lagipun pembaca bukannya perlu membayar untuk membaca blog sepert itu. Kita sendiri pilih apa kita nak baca. Kalau rasa geli-geleman tu, pangkah ajelah dan teruskan dengan bacaan ilmiah yang lain. Lagipun luahan seperti itu turut memeriahkan dunia penulisan hiburan khususnya dalam majalah hiburan dan majalah/suratkhabar nyamuk yang lain, maknanya ia diterima pakai juga dalam arena penulisan.Lagi satu, jangan samakan penulisan amatur dengan penulisan mereka yang bernama wartawan. Golongan ini mungkin tidak belajar Kewartawanan, tetapi mempunyai minat penulisan yang tinggi - walaupun tatabahasa, kosa kata yang tunggang-langgang!

Apapun, aku hormati blogger-blogger yang berani menulis apa juga yang mereka rasa. Betul atau salah, biarlah akal manusia saja yang menelanjangkannya. Tapi hakikat pembohongan yang diulang-ulang itu dianggap benar memang menakutkan. Mungkin mereka yang bertanggungjawap menyedari penipuan itu sedang marak disebarkan patut meminta pihak yang berwajib mengambil tindakan. Hmm..lupakan ajelah. Mereka pun tak sedar keupayaan IT, tak membaca blog dan tak punya laman blog pun. Blog tu apa? Ha..ha..ha..


Penangan blog
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@nstp.com.my
MAJALAH Time pada 2006 mencatat sejarah apabila menamakan komputer sebagai `Person of the Year’ atau tokoh tahun ini. Anda. Ya, anda. Anda menguasai era maklumat. Selamat datang ke dunia anda. Inilah kata-kata muka depan majalah itu.

Ledakan pertumbuhan dan pengaruh hasil kandungan internet, terutama blog diiktiraf di peringkat global dua tahun lalu. Tahun ini, blog dan blogger menerima pengiktirafan di negara ini apabila kuasa dan pengaruhnya mula diakui.

Keputusan pilihan raya umum ke-12 yang dipengaruhi oleh blog dan blogger adalah bukti utama. Kini tiada siapa dapat menafikan bahawa media baru ini mempunyai kedudukan, fungsi dan tanggungjawab dalam dunia maklumat.



Blog media baru berpengaruh

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, sesiapa yang mengaku mempunyai blog dan bergelar penulis blog (blogger), dipandang seperti makhluk asing. Kini anda boleh membaca kira-kira 500,000 blog yang diwujudkan blogger negara ini.

Kemunculan blog hanya mula diperkatakan sejak beberapa tahun lalu walaupun perhatian lebih tertumpu kepada blog politik.

Bagaimanapun, keadaan berubah secara drastik sejak kebelakangan ini. Ramai yang bercakap mengenai blog dan menjadi blogger.

Kehangatan pengaruh blog dikaitkan dengan kempen pilihan raya umum ke-12 lalu apabila blog yang dikategorikan sebagai media baru digunakan secara berkesan sama ada oleh individu mahu pun parti politik.

Mengulas perkembangan blog di negara ini, Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata antara perintis kemunculan blog di negara ini adalah sekumpulan blogger yang membentuk komuniti Geng Journal pada 1998.

Ketika majoriti masyarakat masih buta mengenai blog, katanya blogger seperti Tok Rimau dan Bluehikari merintis minat terhadap blog.

Beliau berkata, perkembangan blog meningkat selepas insiden politik membabitkan penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dituruti kemunculan pelbagai blog seperti Mahazalim dan Mahafiraun.

Sejak empat tahun lalu, katanya perkembangan blog mula memberangsangkan, tetapi masih tidak disedari dan dipedulikan hingga Pilihan Raya Umum Ke-12, bulan lalu, blog menonjolkan pengaruh sebagai media baru yang memberi kesan besar.

Bluehikari atau nama sebenarnya, Ludinata Misnun, berkata ketika Tok Rimau, iaitu bekas Presiden Geng Jurnal membentangkan kertas penyelidikan bertajuk Web Log: Kuasa menerbit di hujung jari dalam satu seminar peringkat kebangsaan pada 2002, isu blog yang dibentangkan itu kurang mendapat sambutan.

Selain itu, katanya membuat blog ketika itu lebih susah kerana prosesnya sama seperti membina laman web yang perlu membuat reka bentuk sendiri.

Katanya, zaman sekarang untuk berblog sangat mudah kerana ada laman web menyediakan kemudahan blog seperti Blogspot, Wordpress atau Diaryland. Hanya perlu daftar, pilih reka bentuk diminati dan mula menulis.

Hari ini, ramai yang bergelar blogger, tetapi semudah itukah menjadi blogger? Rebecca Blood, seorang blogger veteran yang juga pengarang The Weblog Handbook, menyatakan blogger adalah mereka yang sangat berminat terhadap web.

Evan Williams yang mengasaskan Blogger.com pula berpandangan bahawa blogger adalah golongan muda yang menggunakan blog untuk berkomunikasi dengan rakan sebaya.

Sudah tentu hari ini, ada blogger veteran berumur lingkungan 50-an atau lebih tua, tetapi majoriti blogger adalah golongan muda yang dinamik, luar biasa, mempunyai pendirian dan tidak takut melahirkan pandangan mereka.

Setiap orang boleh memberi 1001 macam alasan untuk memiliki blog, tetapi blogger adalah seorang yang tahu menghargai pandangannya.

Tanyalah kepada sesiapa yang memiliki blog. Mengemas kini blog setiap hari menyebabkan dirinya mempertimbangkan pandangannya dengan berhati-hati serta berasakan pandangannya unik dan perlu disuarakan.

Pada masa sama, ada ramai blogger yang hanya memuatkan luahan hati kecewa, putus harapan dan meracau tidak tentu hala. Blog begini selayaknya dimasukkan ke dalam bakul sampah.

Seorang blogger harus mampu melahirkan dirinya dalam penulisan, mahu berkomunikasi dengan orang lain dan berterus terang.

Blogger, Yasser Arafat Ishak yang dikenali sebagai Jiwarasa berkata, blog yang baik selalunya akan mendapat perhatian dan ibarat pasaran terbuka yang pengunjung mempunyai pilihan. Blog yang baru sering meletakkan alamat blog yang bagus di blog masing-masing.

Katanya, memuatkan blog yang bagus di blog masing-masing bagaikan satu trend untuk menempatkan diri dalam kelompok blog.

“Pengunjung blog juga cerdik dan bijak memilih bahan yang baik. Mereka selalunya akan membuat rujukan silang di mesin carian Yahoo dan Google untuk mendapat kepastian sesuatu fakta yang ditulis di blog,” katanya.

Apakah faktor yang menyebabkan blog popular? Sifat interaktif adalah punca menyebabkan blog mendapat perhatian ramai. Semua orang berpeluang memberikan pandangan walaupun tidak semua pandangan itu bernilai.

Blog bukan saja membolehkan blogger memberikan pandangan mengenai sesuatu isu, tetapi pembaca menyuarakan pandangan masing-masing. Anda mahu bersetuju, membangkang, menambah maklumat dan fakta baru. Semuanya dalam blog.

Blogger perlu ada sikap kawal selia kendiri

LESEN besar penulis blog (blogger) untuk menulis mengenai apa saja di atas muka bumi ini menimbulkan banyak persoalan.

Melihat sesetengah blog, penulisan bukan berisi fakta dan kebenaran, tetapi penuh dengan fitnah, kepalsuan dan bersumberkan khabar angin.

Malangnya, apa yang ditulis dipercayai sebagai suatu kebenaran. Dalam teori komunikasi, apabila sesuatu pembohongan diulang-ulang, maka pembohongan itu dianggap benar. Dalam blog, proses yang sama juga berlaku.

Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata sebelum pilihan raya umum ke-12 lalu, ada anggapan bahawa harga rumah melambung naik di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah.

Katanya, anggapan itu berlegar dalam dunia blog dan maklumat itu tidak diketahui ketepatan serta kesahihannya.

“Tiada siapa tahu perkara ini, tetapi anggapan ini wujud di kalangan masyarakat negeri berkenaan. Oleh kerana tiada siapa menafikan maklumat ini, maka maklumat yang disebarkan melalui blog dianggap benar,” katanya.

Dalam era perang maklumat, katanya blog membentuk maklumat dan sama ada maklumat itu tepat atau sahih adalah perkara kedua.

Bagaimanapun, blogger tidak dibiarkan bebas sewenang-wenang. Di Singapura, dua etnik Cina dipenjarakan mengikut Akta Hasutan negara itu kerana memuatkan kenyataan anti Islam dalam blog mereka.

Tahun lalu di Mesir, blogger Abdel Monem Mahmoud, ditangkap kerana menulis kenyataan anti kerajaan.

Di negara ini, tiada undang-undang secara khusus boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap blogger dan blog. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hanya bertanggungjawab menyelia infrastruktur sesebuah laman web dan bukan memantau laman web yang menyeleweng.

Bagaimanapun, Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membolehkan individu yang menyalahgunakan Internet bagi menyebarkan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau yang jelik dikenakan tindakan.

Selain itu, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Kanun Keseksaan boleh digunakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab. Sudah ada beberapa kes blogger di negara ini disaman kerana tulisan mereka.

Keputusan Mahkamah Tinggi Alor Star supaya pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, membayar ganti rugi RM4 juta kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Naib Canselornya, Tan Sri Dr Nordin Kardi, kerana memfitnah melalui artikel disiarkan dalam blognya pada 2006 adalah antara kes utama.

Bagaimanapun, undang-undang bukan jawapan terhadap persoalan ini. Menubuhkan polis siber seperti di sesetengah negara juga bukan penyelesaian terbaik.

Harus ada kerelaan daripada blogger untuk bekerjasama dengan kerajaan membangunkan kod etika yang boleh diguna pakai di Malaysia. Lebih baik sikap kawal selia kendiri wujud di kalangan blogger berbanding pihak lain yang memaksanya.

Friday, April 11, 2008

Babi Oh Babi


Ada seekor anak babi, jalannya tunduk aje. Bila binatang lain tanya, 'eh, babi. Kenapa kau jalan tunduk?"
Babi tu jawab - aku malu sebab aku babi...
Babi pun tau malu.. ha..ha..ha.. Ini hanya lawak jenaka tak bermoral yang popular sepanjang zaman. Siapa yang reka tak penting. Apa yang penting, lucunya boleh buat aku tersenyum sambil dalam hati menyumpah orang yang bagi soalan tu. Babi betul!

Sebelum aku jauh menulis, aku nak rakamkan segunung tahniah pada rakyat Selangor kerana atas pilihan mereka, kerajaan Selangor yang rata-rata Melayu penduduknya akan membelanjakan RM 100 juta untuk projek penternakan Babi. Dalam tempoh 5 tahun, tentu kome bangga. Negara pengeluar Babi terbesar ialah Selangor Darul Ehsan..Tentu pakcik makcik yang memangkah untuk masuk syurga mula berfikir, betul ke akan masuk syurga kalau aku merelakan projek mega yang tak setaraf NCER ni?

Kenapa aku menulis pasal babi? Tak ada topik lain ke untuk dicoretkan dalam blog ini. Jawapan aku, memang tak ada. Semua suratkhabar cerita pasal babi. Harakah aku tak tahu, tapi rasanya tak kot. Sebab inikan keputusan kerajaan campuran yang parti mereka turut bernaung sama. Sebab babi, aku naik mual nak baca suratkhabar termasuklah nak menonton berita kerana berita utamanya binatang ini la jugak.

Aku suka statement YB nie.."Babi pun makhluk Tuhan juga..."
Siapa pulak yang kata tidak?

Kalau ikut aku, nak ternak mermaid pun tak apa, asalkan betul caranya. Kena pastikan saluran kumbahan itu tidak disalirkan ke laut dan sungai. Kemudian ternaklah dikawasan yang jauh dari petempatan manusia. Jadi kalau ada jangkitan J.E ke, Nipah ke ketupat ke takde la hamba rakyat juga yang menderita. Bau tak payah cakaplah...Angin petang pun bertiup sepoi-sepoi bahasa oink...oink...oink..

Bukan tak bagus nak ternak babi..Keuntungannya boleh juga digunakan untuk pembangunan bukan islam. Tak ada masalah sebenarnya sebab babi juga sumber protein dan berpotensi menjadi satu komoditi. Orang Islam yang menjaga akad sahaja yang tidak akan tergamak untuk membahamnya kerana telah tersurat babi itu haram. Kalau tidak, masakan jika ada lori babi terbalik kita lebih rela langgar tembok daripada langgar babi! Tapi jika orang bukan Islam yang makan, itu hak mereka la...Isunya pada aku, pelaksanaan dan lokasi yang sedikit mengarut.

Pada aku la, daripada ternak babi baiklah ternak ular sawa ke, biawak ke, musang ke atau apa juga binatang yang menjadi hidangan eksotik. Di Malaysia aku belum dengar la pulak virus berjangkit yang disebabkan binatang-binatang ini.Selain memberi peluang penggemar makanan tadi menjimatkan wang makan di Malaysia, setidaknya ada jugalah usaha untuk memastikan spesis binatang ini tidak pupus.Tak pun gunakan wang itu untuk memajukan pertanian. Takdelah kecoh satu Malaysia bekalan beras berkurangan...Import pun kurang.

Hmmm...daripada ternak babi, duit itu digunakan untuk ternak ayam. Tak adalah harga ayam naik menjelang musim raya. Negeri Selangor jugak antara negeri yang kurang bekalan ayam. Aku tak pernah dengar harga daging babi naik menjelang Tahun Baru China. Mungkin sebab aku tak baca paper cina....

Babi memang makhluk tuhan juga. Tentu ada sebab tuhan bagi babi peluang menumpang di dunia. Macam syaitan bagi masyarakat Islam dan semangat jahat bagi yang bukan Islam - demon ke, evil ke..membawa pemahaman yang hampir sama. Dan tentu ada sebab kewujudannya. Rasa aku pengajaran yang perlu kita gali ialah yang baik kita ikuti, yang buruk kita tinggalkan. Tapi kalau buruk bukan untuk dikeji, sebaiknya dikaji kenapa benda itu memberi kesan sedemikian. Jadikanlah babi kajian ilmiah untuk mendapat jawapan kenapa, bagaimana, bila, di mana dan mengapa. Ini lebih baik daripada bertegas-tegas nak menternak babi besar-besaran, tapi usahanya belum nyata. Bersikit-sikit dahulu, barulah berbesar-besaran..

Aku tinggalkan dengan satu frasa -
kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
kerana undi anda rela, Kerana babi, kita kena bala