Saturday, May 24, 2008

Bukan Milik Kita..


Permulaannya begitu meyakinkan. Hujah yang diberi seolah memberi bayangan kita akan mendapat kedaulatannya. Namun itulah hakikat yang sangat pahit untuk ditelan..Kita kehilangan Pulau Batu Puteh, walaupun berjaya mendapat kedaulatan Middle Rocks. Hmmm...aku sangat kecewa, tapi tiada apa lagi yang boleh dilakukan.

Sedari pagi semalam, RTM menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia mula memberi informasi dan menyeru warga Malaysia untuk stay tune di Saluran Inforia. RTM mendapat hak eksklusif menyiarkan keputusan pengumuman secara langsung dari The Hague, Belanda. Percayalah, bukannya satu tugas yang mudah untuk aku sebagai penerbit rancangan pada hari itu. Setiap bahan berhubung isu tuntutan ini perlu relevan dan up-to-date. Aku sendiri berhubung terus dengan wartawan RTM di The Hague untuk menyelaraskan beberapa perkara sebelum aku memulakan siaran semalam.

Untuk mendapat tokoh akademik bercakap perihal kes ini juga menuntut kesabaran yang sangat tinggi. Aku dan Sayed Munawar akhirnya berjaya juga mendapatkan seseorang. Tetapi saat akhir, ada sedikit masalah yang tak dapat dielakkan. Secara peribadi, aku respect Sayed Munawar sebab pada aku, beliau berjaya menjadi perantara yang efektif semalam - berbanding wartawan yang apa kena dengannya semalam pun aku tak tahu!?

Tutup kisah in, kerana apa juga point yang kita ada, kes dah tutup. Sudah tiada mahkamah mana celah di dunia pun akan membicarakan kes ini. Semoga menjadi pengajaran kepada kita sebagai warga Malaysia untuk memahami dan menghayati sejarah.



Batu Putih hak Singapura - ICJ juga putuskan Middle Rocks kepunyaan Malaysia
Daripada NORAINI ABD. RAZAK

THE HAGUE, Belanda 23 Mei – Pertikaian mengenai status Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.

Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pemangku Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh ketika membaca keputusan kes tuntutan bertindih itu berkata, status mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih diputuskan oleh majoriti 12-4 hakim, manakala majoriti 15-1 hakim pula bersetuju berhubung kedudukan Middle Rocks dan South Ledge.

Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih.

“Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api.

“Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, adalah menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut.

“Oleh itu mahkamah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat yang mempengerusikan persidangan ICJ bagi memutuskan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Beliau bersidang bersama 15 orang hakim lain.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura mengemukakan nota bantahan kepada Malaysia menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.

Tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge pula hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara berhubung pertikaian Pulau Batu Putih.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia dan Singapura melalui satu perjanjian yang dimeterai di Putrajaya pada 6 Februari 2003 bersetuju untuk merujuk pertikaian sempadan berhubung Pulau Batu Putih kepada ICJ.

Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura. Kedua-dua negara akan menerima keputusan mahkamah sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak.”

Selepas menghantar memorial (hujah bertulis), kedua-dua negara memulakan hujah lisan pada 6 hingga 23 November lalu.

Memetik penghakiman kes tersebut secara lebih terperinci, Shawkat berkata, fakta kes menunjukkan bahawa sebaik sahaja menerima surat balasan dari Johor, Setiausaha Koloni Singapura telah menghantar satu memorandum dalaman kepada Peguam Negara yang menyebut bahawa beliau berpendapat “berdasarkan kekuatan surat jawapan itu, kita boleh menuntut Pedra Branca.”

Selain surat dari Johor pada 1953, mahkamah turut berpandukan kepada fakta kes berhubung tindak tanduk United Kingdom dan Singapura di Pulau Batu Putih yang menurut ICJ tidak terbatas kepada penyelenggara rumah api semata-mata.

Shawkat berkata, mahkamah berpendapat bahawa tindakan-tindakan Singapura termasuk menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya jelas menunjukkan wujud a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) terutama selepas tahun 1953.

Malaysia, katanya, tidak menunjukkan tindak balas dalam bentuk apa sekali pun terhadap kegiatan-kegiatan Singapura malah pihak berkuasa Johor gagal melakukan sebarang tindakan ke atas Pulau Batu Putih bermula dari Jun 1850.

Lebih daripada itu, jelas beliau, keputusan mahkamah memihak kepada Singapura didorong oleh fakta republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih.

Tuntutan

“Tindak tanduk itu dilihat menunjukkan wujudnya kedaulatan dan memberi sokongan yang amat penting kepada tuntutan Singapura terhadap kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat.

Shawkat yang mengetuai kumpulan 16 hakim termasuk dua hakim ad hoc yang masing-masing dilantik oleh Malaysia dan Singapura turut menarik perhatian mahkamah mengenai kegagalan Malaysia membantah pengibaran panji-panji British dan Singapura di Rumah Api Horsburgh di pulau itu yang turut memberi kesan kepada kes tuntutan bertindih itu.

Selain itu, enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia antara tahun 1962 dan 1975 yang dipertikaikan oleh Singapura kerana tertera perkataan ‘Lighthouse, P. Batu Puteh, (Horsburgh) (SINGAPORE) atau (SINGAPURA)' di Pulau Batu Putih turut menjadi rujukan ICJ yang disifatkan oleh barisan hakim sebagai mengesahkan bahawa Malaysia menganggap pulau itu adalah di bawah kedaulatan republik berkenaan.

“Mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan titre de souverain Singapura, selain tindak-tanduk Malaysia termasuk kegagalannya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan republik itu, bahawa pada 1980 kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Singapura,” katanya.

Mengenai Middle Rocks, Shawkat berkata, bentuk maritim itu mempunyai status undang-undang yang sama dengan Pulau Batu Putih dari sudut sejarahnya iaitu kedaulatannya adalah di bawah kesultanan Johor.

Katanya, mengambil kira fakta tersebut, penyerahan Pulau Batu Putih kepada Singapura yang didorong oleh surat pada 1953 dan kegagalan Malaysia bertindak balas terhadap tindak tanduk republik itu tidak memberi kesan kepada Middle Rocks.

Oleh itu, jelas Shawkat, hak milik asal Middle Rocks kekal kepada Malaysia yang mewarisi kesultanan Johor, kecuali terbukti sebaliknya di mana mahkamah mendapati Singapura tidak mengemukakan sebarang bukti yang bertentangan.

Dalam keputusan mengenai hak milik South Ledge pula, kata Shawkat, mahkamah berpendapat bentuk maritim itu berada di perairan bertindih antara Pulau Batu Putih yang kini menjadi milik Singapura dan Middle Rocks yang kekal bersama Malaysia.

“Mahkamah hanya diminta untuk memutuskan kedaulatan ketiga-tiga bentuk maritim itu secara berasingan dan pada masa yang sama mahkamah tidak diberi kuasa untuk menetapkan garis persempadanan wilayah perairan Malaysia dan Singapura.

“Dalam hal ini, mahkamah merumuskan kedaulatan South Ledge adalah milik negara yang perairannya terletak bentuk maritim itu,” kata beliau.

Delegasi Malaysia ke ICJ hari ini diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Ejen Malaysia dan Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; Ejen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa; dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Johor.

Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia pula terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, James Crawford, Nicolaas Jan Schrijver, Marcelo G. Kohen, dan Penelope Nevill. Lauterpacht bagaimanapun tidak hadir hari ini.

Singapura pula diwakili antara lain oleh Timbalan Perdana Menteri, S. Jayakumar; Ketua Hakim, Chan Sek Keong; Duta Kembara, Tommy Koh; dan Duta Anil Kumar Nayar.

– Utusan

Wednesday, May 14, 2008

Krisis Makanan?



Sepanjang 2 bulan lalu, kecoh isu beras, kekurangan bekalan makananan, Bernas, Padi Negara dll. Macam mana aku boleh tahu semua benda ini? Sebabnya inilah topik popular Selamat Pagi Malaysia sepanjang 2 bulan lalu hingga ini. Dari naif langsung, aku setidak-tidaknya memahami punca, sebab, akibat dan langkah-langkah menangani krisis makanan.

Tadi SPM Edisi Selasa membincangkan topik ini dengan wakil FOMCA. Secara peribadi, topik ini pada aku merupakan topik rolling saja. Maknanya kita pernah buat, tapi buat balik dari angel yang lain. Semuanya berjalan lancar dan syukurlah caller yang telefon pun semuanya yang berakal.Kalau ada yang emosional pun Shuhaimi selaku perngacara berjaya menyelamatkan keadaan.

Krisis makanan kali terakhir terjadi pada 1973. Aku belum lahir pun waktu itu. Tahun ini dijangka berlaku sekali lagi krisis makanan tapi dengan impak yang lebih mencengkam bahana kenaikan harga minyak mentah, siri bencana alam dan juga gaya hidup masyarakat dunia yang semakin mewah. Cabaran dan persoalannya sekarang, bagaimana usaha kerajaan dapat mengurangkan beban rakyat?

Adakah kerajaan akan menurunkan harga, memberi subsidi? Atau mengadakan sekatan pembelian? Menubuhkan jawatankuasa bla..bla..bla. Aku setuju dengan pendapat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, kerajaan tidak seharusnya menggunakan pendekatan popular - menurunkan harga dan memberi subsidi. Kerana apa? Kerana manusia tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada. Bagaimana pula keadaannya kalau kerajaan pun dah tak mampu nak menanggung subsidi dan tiba-tiba rakyat kena membayar harga yang sudah bertambah melambung? Ah...darurat jadinya..dan rakyat berantakan.

Apa yang penting pada aku ialah memahamkan rakyat tentang punca krisis..Dari kenaikan bahan mentah, fenomena cuaca yang tidak menyebelahi pengeluaran tanaman dan gaya hidup masyarakat dunia sendiri yang semakin boros.

Aku sempat membaca satu blog dari Indonesia yang menyarankan agar kita menukar corak pemakanan kepada vegetarian. Di Malaysia pula dicadangkan makan nasi separuh pinggan, sekali sehari dan berpada-pada dengan pengambilannya disamping mampu mengurangkan obesiti yang semakin menjadi-jadi. Hakikatnya, pelaksanaannya bukan mudah. Nasi makanan ruji..mana mungkin bole tukar makan roti, atau sayur secara drastik.

Fenomena krisis bekalan baru hendak bermula di Malaysia. Impaknya belum terasa sangat kerana kita tidak ditimpa bencana alam yang nyata. Tapi dalam pemerhatian aku rata-rata tidak peduli pun hal ini. Hmmm....sebab baru nak bermula. Dah mula nanti, tak cukup Giant nak cari beras!

Monday, May 12, 2008

Aduh, Yang Berhormat



Apabila diadakan siaran langsung persidangan dari parlimen, aku mengharapkan adanya perbincangan yang membina untuk mencari penyelesaian tentang apa juga isu yang di bahas. Baru hari pertama, label-melabel sudah berkumandang. Nasib baik belum ada kes tumbuk-menumbuk membuka tirai persidangan 2008.

Ahli parlimen yang ada dalam dewan bukannya calang-calang manusia. Ada peguam, ada itu, ada ini dan masing-masing berpelajaran tinggi. Melihatkan lintas langsung dari parlimen hari ini aku bukan setakat tersenyum sendiri, aku bantai gelak. Baik kerajaan, baik pembangkang pandai sungguh buat lawak di dewan yang mulia itu. Aku sempat terfikir, kerana ia siaran langsung jadi sedemikian rupa ataupun AP yang dipilih sidang ini memang sebegitu lakunya.

Apa nasib kita sebagai rakyat sudahnya? Kalau suara yang kita pilih sebenarnya suara radio speaker pecah yang hanya membingitkan telinga dan bercakap hanya untuk menghangatkan suasana. Ini masanya untuk tunjukkan kepada rakyat siapa ayam sabung paling hebat. Itu aku faham..semua mahu spotlight memancar di muka. Tapi ahli yang berhormat semua kena sedar..Jangan sampai menang sorak saja, kampung tergadai!

Aku tak pro siapa-siapa. Jika ada isu yang dibangkitkan itu relevan, walau siapapun yang bangkitkan aku akan sokong. Kadang-kala aku rasa ahli yang berhormat kena pergi kursus adab sebab masing-masing macam tak tahu aje adab. Celah-mencelah tak tentu hala, terpekik macam mic kat depan tu rosak dan yang paling teruk, lihatlah ekspresi muka masing-masing masa tengak marah. Ya, tuhan...lebih buruk dari segala benda yang buruk. Kena belajar anger management sekali dalam modul kursus itu..

Aku dengki sebenarnya..dengki sebab aku tak ada suara dalam dewan yang mulia itu. Dengki sebab setidak-tidaknya ada isu masyarakat yang boleh aku dibangkitkan, ada asas yang hendak aku ketengahkan. Tersangatlah dengki pada ahli yang berhormat yang dipilih oleh rakyat tapi setakat duduk bersejuk-sejuk dalam dewan parlimen. Buat lebih jaki, ketuk meja kuat-kuat dan terpekik-pekik macam bagus setakat buat kecoh!