skip to main |
skip to sidebar
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kakitangannya dalam perkhidmatan sokongan dibenarkan untuk melakukan kerja luar bagi menampung ekonomi masing-masing. Mungkin pemimpin kita sedar bahana pengurangan subsidi minyak ditambah dengan senario ekonomi yang tak menentu bakal menyesakkan otak pekerja dengan masalah duit. Ha, tak cukup prihatinkah itu? Gali dan kunyah kenyataan itu mengikut tegak condong citra pemikiran masing-masing.
Persoalannya pada aku sekarang, adakah kualiti kerja akan terjaga dalam pada kakitangannya melakukan 2 kerja? Kalau setakat kerja luar yang dilakukan menjual kuih-muih musim nak raya, kain baju kurung dan songket bagai ataupun membuat gubahan orang kawin, pada aku tak menjadi masalah besar. Bagaimana pula yang memilih untuk membawa teksi selepas waktu pejabat, bekerja di restoran makanan segera hatta buruh rencam sekalipun?
Kakitangan kerajaan yang normal masuk kerja jam 8.00 pagi dan balik jam 5 petang (9 jam). Katalah pukul 6.00 petang mereka melakukan kerja luar sampai pukul 10.00 malam (4 jam), mereka telah bekerja selama 13 jam satu hari. Oklah, kalau kudrat masih ada. Tapi bagi yang lebih agresif (bawa teksi sebagai contoh) mereka akan kerah tenaga yang ada lagi tak mahu untuk memaksimakan pendapatan harian mereka. Dengan kadar sewa teksi RM 40 setiap hari, tak mustahil ada yang sanggup bekerja antara 12.00 malam - 6.00 pagi. Ini kerana penumpang akan membayar tambang berganda untuk mana-mana destinasi dalam durasi terbabit.
Aku mengormati mereka yang bertungkus-lumus ini. Demi keluarga dan anak-anak biarlah mereka bersusah payah mencari rezeki. Jika esoknya mereka mampu datang ke pejabat dan melakukan kerja seperti biasa, semoga Allah memberkati rezeki anda hendaknya. Tapi bagaimana pula keadaannya mereka yang tersengguk-sengguk keletihan dan kemengantukan bahana melakukan kerja luar ini? Harus bagaimana kualiti kerja itu akan terpamer?
Aku sangsi dengan kemampuan mereka. Kerana kalau aku sekalipun harus melakukan kerja luar, tanpa tidur yang solid akan menjadi mumia hidup. Sudahlah sistem penyampaian kakitangan kerajaan dikritik kerana kegemaran mereka 'pass baton'. Ditambah dengan kakitangannya yang 'tak berfungsi' seperti ini, maka rompong lagilah tanggapan umum pada mereka.
Jika ada kakitangan awam yang terpaksa melakukan kerja luar, aku mohon jangan pula kompromi tenaga anda semasa dalam waktu pejabat kerana kerja itu tanggungjawab yang telah anda pikul untuk sekian lama. Rasa-rasa tak mampu badan tu, janganlah mencari kerja yang bakal menyusahkan semua pihak termasuk kesihatan anda sendiri. Kerana perangai sebegini walaupun sepicis, kesemua kakitangan awam lain menerima serbuk ladanya.
Banyak ruang untuk menambah pendapatan. Dan aku selalu tekankan pada sahabat-sahabat yang lain. Jangan sampai jadi hamba duit kerana setinggi KLCC pun duit yang kita ada, pasti tak pernah cukup. Aku selalu tekankan pada diri aku, kalau tak nak orang menyusahkan kepala otak aku, aku jangan menyusahkan kepala otak orang. Kerana aku tidak mahu orang menyusahkan kepala otak aku, inilah antara seruan yang aku buat.
Kualiti hanya ukuran kerja. Berkat tak berkat pendapatan itu pokok utama. Kalau kerja takde kualiti, macam mana nak ada berkat?
No comments:
Post a Comment