Thursday, September 27, 2007

Ikan Oh Ikan...

Sakit hati pulak rasanya membaca akhbar Harian Metro hari ini; Curah Racun Dalam Tangki. Kesannya, hampir 600 spesies ikan mati dengan kerugian dianggarkan puluhan juta ringgit (mungkin kos ikan dan kos pembaikpulihan..) Siapalah yang khianat sangat sampaikan tergamak untuk sabotaj Underwaterwold Langkawi.

Aku sendiri tak pernah masuk dalam Underwaterworld Langkawi, walaupun sudah dua kali berada didepan pintu masuk. Tak tergamak pula rasanya membayar RM 38 untuk melihat ikan-ikan yang ada, sementelah rumah aku dekat dengan Zoo Negara. Tengok kat sana pun dah memadai. Penguin pun ada jugak.

Apa yang aku kesalkan, perangai, sifat ataupun pemikiran manusia yang kejam ini. Mungkin atas faktor sakit hati, si pengkhianat mahu tempat itu disabotaj tanpa mengira nyawa-nyawa ikan (yang pastinya bernyawa-nyawa ikan masa racun dituang) yang ada. Bayangkan kalau ada manusia yang sanggup sabotaj manusia begitu. Tanpa kita sedari, mana tahu tangki air yang menyalurkan air ke rumah kita sebenarnya beracun! Mati seisi rumah, seisi taman, satu daerah, satu negeri bahkan lebih kronik - satu negara!

Ikan oh ikan...Aku pun bukannya suka sangat makan ikan, kecuali ikan sungai. Aku jugak bukannya pencinta haiwan, khususnya ikan. Tapi aku turut terasa akan kesedihan dan kekecewaan pihak pengurusan Underwaterworld Langkawi apabila insiden ini terjadi.

Apa sudah jadi dengan manusia hari ini?


Curah racun dalam tangki
Oleh Hamzah Osman am@hmetro.com.my

LANGKAWI: Perbuatan khianat. Itulah nasib lebih 600 ikan pelbagai spesies, termasuk jerung dan pari di Underwater World Langkawi (UWL) di Pantai Chenang di sini yang mati dipercayai diracun, petang semalam.Kejadian itu mengejutkan kira-kira 90 kakitangan UWL, malah ada yang menitiskan air mata sebaik melihat ikan terbabit mati terapung dalam tujuh tangki.

Kematian ikan terbabit yang dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit itu disedari pengawal keselamatan pusat pelancongan berkenaan kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Polis Langkawi, Superintendan Mohamed Ali Jamaludin, berkata pihaknya percaya kejadian yang pertama kali berlaku di tempat tumpuan ribuan pelancong setiap hari itu berpunca perbuatan khianat membabitkan sekurang-kurangnya dua suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati ikan terbabit mati dipercayai kerana air dalam tangki terbabit dicemari sejenis bahan kimia.Beliau berkata, dua suspek itu dikatakan melakukan perbuatan jahat mereka jam 5 petang sebelum sejumlah ikan mula dilihat terapung oleh pengawal keselamatan UWL satu setengah jam kemudian.

Polis menemui beberapa bahan bukti, termasuk sejenis bahan kimia dengan baunya hampir menyamai petrol dipercayai digunakan suspek untuk meracun ikan terbabit.

“Bahan kimia itu dipercayai dibawa masuk ke pekarangan UWL dan dicurahkan ke dalam tangki terbabit menerusi pintu belakang,” katanya pada sidang media bersama pengurusan UWL di pusat pelancongan itu, petang semalam.Hadir sama, Pegawai Daerah Langkawi, Mansor Ismail dan Timbalan Pengurus Besar UWL, Mohd Hafizuddin Abdullah.

Mohamed Ali berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan memburu suspek.Mengulas kejadian itu, Mohd Hafizuddin menganggarkan lebih 600 ikan daripada 30 hingga 50 spesies terbaik di dunia mati.Antara ikan yang mati itu ialah jerung, pari, kerapu dan kerepoh yang berusia antara 10 hingga 12 tahun dan seberat antara 10 hingga 20 kilogram setiap seekor.

Dua tangki utama yang terbabit dalam kejadian itu menempatkan kira-kira 50 spesies yang menjadi tarikan pelancong. Secara keseluruhannya, kami memiliki lebih 100 tangki yang menempatkan lebih 4,000 haiwan laut.

Operasi UWL tidak terjejas kerana kami hanya menutup operasi sebahagian saja, manakala pengunjung masih boleh melawat Penguin African dan Rockhopper serta beberapa spesies ikan dalam tangki kecil,” katanya.

Beliau bersyukur kerana ikan arapaima dan penyu yang juga antara tarikan utama pelancong terselamat kerana ia ditempatkan dalam tangki berlainan.Katanya, polis sedang membuat siasatan selepas UWL membuat laporan polis tengah hari tadi

Tuesday, September 25, 2007

Musik Malaysia VS Indonesia

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan muzik tanahair, isu yang akan aku tulis
ini sebenarnya bukan perkara baru. Kegilaan stesyen radio swasta memainkan lagu
penyanyi dari seberang telah menimbulkan keresahan dikalangan artis Malaysia.

Bagi pihak stesyen radio swasta, mereka mengatakan situsi ini berlaku atas sebab permintaan dari pendengar sendiri yang cenderung memilih lagu dari Indonesia.Jika tidak dilayan, pendengar akan lari ke stesyen lain dan ini akan menimbulkan menjatuhkan stesyen. Pihak artis pula mengatakan stesyen radio yang menyebabkan perkara itu terjadi. Lagu Indon kalau tak sedap mana pun dipasang berulangkali akan mesra telinga juga. Kita sendiri sebagai pendengar macam mana?

Aku tak begitu tertutup tentang isu ini. Sebabnya pada aku seni itu luas, dan seni itu indah. Tidak perlu menyekat seni dan kreativiti sebab jika karya itu baik, macam mana pun ia akan mendapat tempat yang sewajarnya. Contohnya macam lagu Jepun, Korea dan Arab di Malaysia. Walaupun lagu dari negara itu jarang diputarkan,tapi masih mendapat tempat dihati pendengar. Cara mana lagu itu mereka tahu, itu bukan soal utama.

Tapi aku setuju juga jika disekat atau dikurangkan kuantiti lagu Indon yang dimainkan di mana-mana stesyen sekalipun, termasuklah stesyen di tempat aku bertugas ni. Nyatanya satu pembaziran apabila duit royalti semuanya mengalir ke luar. Padahal artis Malaysia yang betul-betul laku diluar negara pun boleh dikira dengan jari. Rasanya samapai artikel ini ditulis, hanya kumpulan Raihan sahaja yang betul-betul berjaya membina nama ke seantero dunia. Yang lain tu macam suam-suam kuku aje.

Lagu Malaysia pun bukannya tak sedap langsung semua...Sedap juga adanya. Karya Malaysia pun tak kurang hebatnya dengan karya luar. Cuma belum mendapat pembelaan yang sewajarnya sahaja. Aku tahu, ada yang akan kata apa salahnya bagi peluang pada muzik luar, kita bersaing secara sihat. Hmmm..mana mahunya. Kita memang suka mengagungkan karya luar. Kalau tak masakan filem Cinta arahan director India pun boleh dapat Filem Terbaik (tak kisahlah yang berlakon pun banyaknya orang Malaysia..)

Macam aku katakan di atas, aku memang tidak tertutup berbicara pasal isu ini. Kalau semua stesyen menyiarkan lagu tempatan, pastinya pasaran album yang dikatakan lembap akhir-akhir nie menjadi kering kembali (walaupun kebanyakan antara kita lebih suka download aje dari internet). Dan kita pula semakin menghafal lagu-lagu tempatan walaupun adakalanya aku nak muntah dengan lirik yang entah apa-apa. Ini semua sebab lagu yang tak sedap, kalau diulang berkali-kali pasti akan mesra telinga. Contoh paling baik, lagu Scoin-Rindu-Rinduan Jadi Kenang Kenangan. Aku pasti, ramai yang tak suka, tapi bila lagu ini ke udara mulut yang tak gemar tu pun bukan main rancak menyanyi lagu ini.

Apapun, aku setuju dengan statement suami, kumpulan muzik yang ada di Malaysia nie kalau jamming lagu macam nak membunuh, tapi bila buat album lagu macam nak bunuh diri..

Kad Raya

Setiap kali Ramadhan menjelang, bisnes kad raya juga satu masa dulu mampu untuk membawa pulangan lumayan kepada para peniaga. Aku sendiri masa zaman sekolah rendah dahulu meniaga kad raya yang dibuat oleh arwah Abah. Hasilnya boleh tahan, tambahan pula modalnya kecil sahaja sementelah arwah Abah mempunyai tulisan tangan yang sangat cantik.

Namun situasi kini agak berbeza. Kad raya kebanyakannya hanya ditempah oleh syarikat-syarikat korporat ataupun ahli-ahli politik untuk dilayangkan pada pelanggan atau sekutu politik masing-masing. Bagi masyarakat Melayu kini khususnya kanak-kanak dan remaja, SMS menjadi penganti diri penyampai pesan. Sekarangkan zaman moden..Kebanyakan kanak-kanak sudah mewah dan dibekalkan telefon bimbit oleh keluarga masing-masing. Aku rasa kalau ada yang mengirim kad raya pun tak berapa nak meriah jika dibanding zaman 80an atau 90an dulu.


Di zaman kanak-kanak ribena aku yang lampau, kawan-kawan sering menayang kad raya yang diterima daripada artis-artis popular tanahair. Selain Datuk Siti Nurhaliza, Azwan Ali, Amy Mastura dan M.Nasir antara artis yang tidak pernah menghampakan peminat yang mengirim kad raya buat mereka. Bagi diri aku sendiri, hanya M.Nasir sahaja yang aku layangkan kad raya saban tahun. Dan saban tahun juga aku menerima balasan kad raya dari beliau. Satu yang aku puji, dia sign hidup, bukan sign cetak. Sebenarnya aku nak paste kad raya kiriman M.Nasir, tapi tak ada pula. Jadi aku ambil kesempatan untuk paste kad raya Datuk Siti, sebagai tanda terima kasih beliau kirim salam pada suami aku semalam..(panjang kisahnya!)

Bulan puasa sudah 13 hari berlalu. Satu kad raya pun belum menjengah untuk aku. Dan akupun tak kirimkan kad buat sesiapa. Kadangkala aku rasa kecanggihan teknologi menghakis budaya yang ada. Tapi jangan salahkan teknologi, salahkan diri sendiri.

Sunday, September 23, 2007

Sivik

Tak seronok untuk bercakap pasal kesedaran sivik. Sebab apa, majoriti antara kita mendapat pendidikan yang sempurna. Elemen agama dan moral sudah pasti sering ditanam pada jiwa kita sedari zaman kanak-kanak ribena lagi.

Jangan buang sampah merata-rata, hargai alam sekitar, sayangi sungai kita adalah antara isu yang berkaitan dengan kesedaran sivik. Banyak kempen dan poster menyeru orang ramai agar mengubah mentaliti demi membentuk masa depan yang sempurna. Sampaikan bila di perhentian R&R, aku naik geli apabila membaca tanda "Jangan Meludah Di Sini." Ish, itu pun kena bagitahu rupanya..

Ini satu kisah lain aku terima, hampir setiap hari jua adanya. Tinggal di 'town house' (rumah atas lain, rumah bawah lain) seringkali mengundang ketidakpuasan hati aku pada jiran tetangga yang tak faham-faham konsep berjiran. Masalah parking yang di curi memang cukup untuk membuatkan aku baran seharian. Sedari awal berhijrah kekejiranan ini, jiran terbabit atau lebih tepat lagi jiran rumah bawah (sebab kami menyewa di atas) telah diberitahu, sekiranya kereta kami parking di dalam rumah, kereta mereka harus parking di luar rumah. Salah satulah, mengikut konsep first come first served. Apapun, kami cenderung parking di luar saja, mudah keluar. Masalahnya, jiran bawah ini mempunyai lebih 3 biji kereta dan langsung tak faham konsep parking dikejiranan town house ini. Sekali sekala larat aku biarkan saja, walaupun kesudahannya aku dan suami berperang sesama sendiri.

Hmmm...macam mana nak mengatasi masalah ini. Nak ditegur, kata suami mengeruhkan keadaan sebab kami berjiran. Nak bagitahu pada owner, isu malu kalau owner tahu. Sebab apa malu, yang duduk rumah bawah tu orang Melayu juga, tapi Kelantan (faham-faham sendiri...) Tapi pada aku baik confront aje sebab aku pun bayar sewa. Disebabkan aku menjaga hati pelbagai pihak, dan hati aku sendiri yang sakit, sudahnya aku melepaskan geram dengan pelbagai cara. Pertama...sekiranya aku balik dan parking kena rembat, sebelum masuk pintu lagi aku dah membebel-bebel tentang siapalah yang bangang sangat ambil parking kami. Kedua, aku dan suami akan sengaja duduk di beranda rumah (bawahnya dapur jiran kami) dan bersembang rancak tentang ketidakpuasan hati aku gara-gara masalah parking tadi. Dan selalunya tindakan ini mendapat balasan makanan dari jiran dibawah untuk mengambil hati.Ketiga, ini paling kejam yang baru aku praktikkan tadi, dam berpotensi aku lakukan lagi. Hempas pintu kuat-kuat!

Susah sebenarnya hidup berjiran, lebih-lebih lagi dengan yang tidak faham konsep dan buat hal sendiri. Dalam bulan puasa ini, sabar sajalah, walaupun kadang-kadang mulut ini terasa ringan untuk berterus terang dengan jiran di bawah. Pasti keadaan kecoh. Sebab kami pernah mendengar drama swasta apabila jiran ini bergaduh anak-beranak. Percayalah, setiap yang mendengar pasti menjenguk untuk melihat siapa yang terjerit-jerit tengah malam tak tentu hala, sampaikan kedai mamak depan rumah tu pun perlahankan volume TV untuk mendengar apa butir bicara yang kesemuanya dialek Kelantan.

Friday, September 21, 2007

Nurin Jazlin Jazimin

Akhirnya setelah sekian lama usaha mencari kanak-kanak ini menemui jalan buntu, penemuan beg sukan berisi mayat seorang kanak-kanak dijangka bakal memecahkan kebuntuan kes. Menerusi kaedah sains, ujian DNA yang dijalankan mengesahkan kanak-kanak malang itu adalah adik Nurin Jazlin Jazimin.

Pada mulanya, ramai yang sangsi, apatah lagi kedua ibubapa Nurin enggan mengakui itu adalah anak beliau. Inikan kita yang tidak ada pertalian darah dengan Nurin.Tapi hari ini, suasana begitu berbeza. Seluruh Malaysia tanpa mengira kaum pasti terasa dengan suasana hiba keluarga En Jazimin Abd. Jalil apabila menonton berita perdana malam ini. Apatah lagi apabila berita jam 10 pagi sudah mula menyiarkan kisah keluarga malang ini.

Aku tak betah mengulas panjang keadaan mayat adik Nurin ketika ditemui. Tak sanggup rasanya nak membayangkan penderitaan beliau. Manusia haiwan berjiwa syaitan manakah yang melakukan perkara ini kepada adik Nurin? Walau apapun teori anda termasuk penglibatan along, terpulang. Harapan saya jangan ditambah lagi penderitaan keluarga ini. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan umat yang soleh. Al-Fatehah....


KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Dengan linangan air mata, Jazimin Abdul Jalil, pagi ini menuntut mayat anaknya Nurin Jazlin, 8, dari Hospital Kuala Lumpur untuk dikebumikan selepas solat Jumaat.

Jazimin, 33, yang sebelum ini menafikan mayat itu adalah anaknya yang hilang diculik sejak 20 Ogos lepas walaupun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membuktikan sebaliknya, dilihat sebak dan berterusan mengalir air mata sepanjang proses menuntut mayat Nurin Jazlin, mangsa bunuh dan penderaan seksual.

Jazimin, yang berbaju Melayu merah jambu dan berseluar hitam dengan ditemani keluarga dan sanak saudaranya, dibenarkan membawa keluar mayat anak gadisnya itu pada pukul 11.15 pagi ini, dan selepas bacaan doa lalu beredar keluar dengan sebuah van, sambil disaksikan sayu oleh orang ramai dan kakitangan hospital.

Di Seksyen Satu, Wangsa Maju di kediaman keluarga itu, ibu kanak-kanak itu, Norazian Bistaman, 35, menunggu suaminya untuk membawa pulang buat kali terakhir Nurin Jazlin yang lebih mesra dengan panggilan "Kak Ngah" dalam kalangan keluarga dan jirannya. Jenazah Nurin jazlin akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Wangsa Maju selepas solat Jumaat ini.

Semalam, polis mengesahkan ujian DNA terhadap mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya Utama Isnin lepas adalah Nurin Jazlin yang hilang sejak sebulan lepas.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ujian darah mayat dan juga ibu bapa Nurin Jazlin mengesahkan hubungan antara kedua-dua pihak.Bagaimanapun, ibu bapa Nurin Jazlin sangsi dengan ujian itu dan meminta supaya dibuat ujian DNA kali kedua yang sepatutnya diketahui keputusannya Ahad ini.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang pada 20 Ogos setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen Satu, Wangsa Maju di sini.Mayat budak perempuan yang tidak berbaju yang dipercayai menjadi mangsa deraan seks ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1 pada pagi Isnin lepas.

Bedah siasat mendapati pembunuh telah memasukkan timun dan terung ke dalam kemaluan mangsa, menyebabkan rektumnya pecah hingga dijangkiti bakteria, dan ini antara faktor yang menyumbang kepada kematian kanak-kanak itu.Kanak-kanak itu yang ditemui mati berkeadaan kurus kering selain mempunyai pelbagai kesan lebam pada badannya, dan ini menyebabkan ibu bapa Nurin Jazlin tidak mengenalinya semasa membuat pengecaman pertama kali Isnin lepas.-- BERNAMA