Thursday, September 27, 2007

Ikan Oh Ikan...

Sakit hati pulak rasanya membaca akhbar Harian Metro hari ini; Curah Racun Dalam Tangki. Kesannya, hampir 600 spesies ikan mati dengan kerugian dianggarkan puluhan juta ringgit (mungkin kos ikan dan kos pembaikpulihan..) Siapalah yang khianat sangat sampaikan tergamak untuk sabotaj Underwaterwold Langkawi.

Aku sendiri tak pernah masuk dalam Underwaterworld Langkawi, walaupun sudah dua kali berada didepan pintu masuk. Tak tergamak pula rasanya membayar RM 38 untuk melihat ikan-ikan yang ada, sementelah rumah aku dekat dengan Zoo Negara. Tengok kat sana pun dah memadai. Penguin pun ada jugak.

Apa yang aku kesalkan, perangai, sifat ataupun pemikiran manusia yang kejam ini. Mungkin atas faktor sakit hati, si pengkhianat mahu tempat itu disabotaj tanpa mengira nyawa-nyawa ikan (yang pastinya bernyawa-nyawa ikan masa racun dituang) yang ada. Bayangkan kalau ada manusia yang sanggup sabotaj manusia begitu. Tanpa kita sedari, mana tahu tangki air yang menyalurkan air ke rumah kita sebenarnya beracun! Mati seisi rumah, seisi taman, satu daerah, satu negeri bahkan lebih kronik - satu negara!

Ikan oh ikan...Aku pun bukannya suka sangat makan ikan, kecuali ikan sungai. Aku jugak bukannya pencinta haiwan, khususnya ikan. Tapi aku turut terasa akan kesedihan dan kekecewaan pihak pengurusan Underwaterworld Langkawi apabila insiden ini terjadi.

Apa sudah jadi dengan manusia hari ini?


Curah racun dalam tangki
Oleh Hamzah Osman am@hmetro.com.my

LANGKAWI: Perbuatan khianat. Itulah nasib lebih 600 ikan pelbagai spesies, termasuk jerung dan pari di Underwater World Langkawi (UWL) di Pantai Chenang di sini yang mati dipercayai diracun, petang semalam.Kejadian itu mengejutkan kira-kira 90 kakitangan UWL, malah ada yang menitiskan air mata sebaik melihat ikan terbabit mati terapung dalam tujuh tangki.

Kematian ikan terbabit yang dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit itu disedari pengawal keselamatan pusat pelancongan berkenaan kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Polis Langkawi, Superintendan Mohamed Ali Jamaludin, berkata pihaknya percaya kejadian yang pertama kali berlaku di tempat tumpuan ribuan pelancong setiap hari itu berpunca perbuatan khianat membabitkan sekurang-kurangnya dua suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati ikan terbabit mati dipercayai kerana air dalam tangki terbabit dicemari sejenis bahan kimia.Beliau berkata, dua suspek itu dikatakan melakukan perbuatan jahat mereka jam 5 petang sebelum sejumlah ikan mula dilihat terapung oleh pengawal keselamatan UWL satu setengah jam kemudian.

Polis menemui beberapa bahan bukti, termasuk sejenis bahan kimia dengan baunya hampir menyamai petrol dipercayai digunakan suspek untuk meracun ikan terbabit.

“Bahan kimia itu dipercayai dibawa masuk ke pekarangan UWL dan dicurahkan ke dalam tangki terbabit menerusi pintu belakang,” katanya pada sidang media bersama pengurusan UWL di pusat pelancongan itu, petang semalam.Hadir sama, Pegawai Daerah Langkawi, Mansor Ismail dan Timbalan Pengurus Besar UWL, Mohd Hafizuddin Abdullah.

Mohamed Ali berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan memburu suspek.Mengulas kejadian itu, Mohd Hafizuddin menganggarkan lebih 600 ikan daripada 30 hingga 50 spesies terbaik di dunia mati.Antara ikan yang mati itu ialah jerung, pari, kerapu dan kerepoh yang berusia antara 10 hingga 12 tahun dan seberat antara 10 hingga 20 kilogram setiap seekor.

Dua tangki utama yang terbabit dalam kejadian itu menempatkan kira-kira 50 spesies yang menjadi tarikan pelancong. Secara keseluruhannya, kami memiliki lebih 100 tangki yang menempatkan lebih 4,000 haiwan laut.

Operasi UWL tidak terjejas kerana kami hanya menutup operasi sebahagian saja, manakala pengunjung masih boleh melawat Penguin African dan Rockhopper serta beberapa spesies ikan dalam tangki kecil,” katanya.

Beliau bersyukur kerana ikan arapaima dan penyu yang juga antara tarikan utama pelancong terselamat kerana ia ditempatkan dalam tangki berlainan.Katanya, polis sedang membuat siasatan selepas UWL membuat laporan polis tengah hari tadi

No comments: