Tuesday, September 25, 2007

Kad Raya

Setiap kali Ramadhan menjelang, bisnes kad raya juga satu masa dulu mampu untuk membawa pulangan lumayan kepada para peniaga. Aku sendiri masa zaman sekolah rendah dahulu meniaga kad raya yang dibuat oleh arwah Abah. Hasilnya boleh tahan, tambahan pula modalnya kecil sahaja sementelah arwah Abah mempunyai tulisan tangan yang sangat cantik.

Namun situasi kini agak berbeza. Kad raya kebanyakannya hanya ditempah oleh syarikat-syarikat korporat ataupun ahli-ahli politik untuk dilayangkan pada pelanggan atau sekutu politik masing-masing. Bagi masyarakat Melayu kini khususnya kanak-kanak dan remaja, SMS menjadi penganti diri penyampai pesan. Sekarangkan zaman moden..Kebanyakan kanak-kanak sudah mewah dan dibekalkan telefon bimbit oleh keluarga masing-masing. Aku rasa kalau ada yang mengirim kad raya pun tak berapa nak meriah jika dibanding zaman 80an atau 90an dulu.


Di zaman kanak-kanak ribena aku yang lampau, kawan-kawan sering menayang kad raya yang diterima daripada artis-artis popular tanahair. Selain Datuk Siti Nurhaliza, Azwan Ali, Amy Mastura dan M.Nasir antara artis yang tidak pernah menghampakan peminat yang mengirim kad raya buat mereka. Bagi diri aku sendiri, hanya M.Nasir sahaja yang aku layangkan kad raya saban tahun. Dan saban tahun juga aku menerima balasan kad raya dari beliau. Satu yang aku puji, dia sign hidup, bukan sign cetak. Sebenarnya aku nak paste kad raya kiriman M.Nasir, tapi tak ada pula. Jadi aku ambil kesempatan untuk paste kad raya Datuk Siti, sebagai tanda terima kasih beliau kirim salam pada suami aku semalam..(panjang kisahnya!)

Bulan puasa sudah 13 hari berlalu. Satu kad raya pun belum menjengah untuk aku. Dan akupun tak kirimkan kad buat sesiapa. Kadangkala aku rasa kecanggihan teknologi menghakis budaya yang ada. Tapi jangan salahkan teknologi, salahkan diri sendiri.

No comments: