Credit Photo :http://www.lakewoodconferences.com/direct/dbimage/50176674/Holland_Potato.jpgMembaca akhbar Berita Harian semalam menerusi satu artikel 'Syor Kentang Ganti Nasi Gagal' semalam sungguh mengujakan. Pertamanya, aku tak tahu siapa punya idea yang nak menukar kentang ganti nasi sebagai makanan alternatif. Keduanya, benarkah ada usaha besar-besaran yakni kempen khusus berkenaan isu ini?
Justeru, aku mengangkat tajuk ini sebagai perbincangan untuk Topik Semasa pagi tadi. Hebat memang hebat...jangan kata tersenyum sendiri, sambil menerbit siaran aku gelak besar membaca SMS penonton dan komen pengguna yang sempat menelefon ke studio. Ada yang SMS mengatakan kalau kentang yang mereka makan pun hanyalah kentang putar KFC dan keropok kentang Mr. Potato. Ini mesti penonton yang sempat melawak sesama sendiri ingin memanjangkan lawak pagi kepada penonton SPM.
Seorang pemanggil sempat memberi pandangan tentang isu ini. Katanya, menukar dari nasi kepada makan kentang boleh dilaksanakan. Tapi bayangkan kenduri kahwin nanti siapa yang nak makan kentang sebagai menu utama? Siapa yang begitu komited nak mengupas berbakul-bakul kentang untuk dimasak Kentang Beriyani, Kari Kentang, Kentang Masak Kurma, Kentang Masak Tomato dan lain-lain. Sesungguhnya, aku lepas laku pagi tadi. Memang aku bantai gelak besar!
Sempat sang pengacara, Sayed Munawar menyarankan secara bersahaja supaya menu pagi daripada Nasi Lemak ditukar kepada Kentang Lemak...
Pada aku yang selalu membeli-belah dan rajin memasak ni, kentang agak mahal untuk dijadikan makanan asasi. Tambahan pula stok kentang kalau simpan lama alamat lebam-lebamlah kentang itu jadinya. Itu belum masuk lagi agas-agas berterbangan kalau kentang itu terlalu lama diperap. Kalaulah beras, setidak-tidaknya tahan 2 bulan dan masih elok untuk di masak. Sementelah kentang merupakan komoditi eksport. Makanya bertambahlah pengaliran ringgit ke luar negara dan bertambahlah kos membeli racun perosak untuk membunuh agas tadi (ini lawak sengal aku...)
Ada juga yang bersetuju kentang sebagai makanan gantian nasi. Alasan diet satu yang standard. Tapi aku rasa kentang lagi lambat hadam daripada nasi. Makan banyak kentang tak keluar-keluar pula melalui saluran yang sepatutnya. Lagipun tak kenyang..tak sekenyang nasi yang dah jadi makanan asasi aku sejak kecik-kecik botol kicap lagi.
Satu pendapat penonton lain yang muak agaknya menyaksikan penonton SPM lain berbalah-balah tentang isu kentang - semua nak murah, nak subsidi kentang la. makan rumput macam kambing kan senang, free aje depan rumah pun ada.
Itu bengkek tahap gaban agaknya..Apapun aku gembira kerana perbincangan tadi mendapat respon yang memberansangkan dari penonton.
Tadi Datuk A.Rahman Hassan datang ke studio untuk menguar-uarkan tentang Kongres Industri Hiburan. Sebelum itu aku sempat memasang lagu V.E Feat. Datuk A.Rahman Hassan. Wah, senyum lebar Datuk!Syor makan kentang tak dapat sambutan
Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
MAKANAN ALTERNATIF: Ramai beranggapan makan kentang tidak mengenyangkan.
Rakyat sukar ubah tabiat pemakanan ganti nasi
KUALA LUMPUR: Cadangan pelbagai pihak supaya penduduk negara mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kentang sebagai makanan utama untuk mengganti atau mengimbangi pengambilan nasi bagi mengurangkan kos berikutan peningkatan harga beras tidak mendapat sambutan.
Ia berikutan hampir seluruh rakyat yang menjadikan nasi sebagai makanan ruji sejak sekian lama, enggan mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kentang walaupun ketika harga beras melambung naik.
Kaji selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 50 penduduk sekitar Lembah Klang mendapati semua responden mengaku harga beras meningkat namun hanya empat peratus saja yang sanggup menukar kepada ubi kentang sebagai alternatif nasi.
Hasil kaji selidik itu juga mendapati kebanyakan responden enggan beralih menjadikan kentang makanan pengganti atau untuk mengimbangi pengambilan nasi kerana mereka enggan beralih selera serta menyifatkan nasi lebih mengenyangkan.
Di sebalik 90 peratus responden kaji selidik berkenaan yang berumur dalam lingkungan 28 tahun sehingga 60 tahun mengakui kenaikan harga beras kebelakangan ini membebankan dan meningkatkan kos mereka tetapi tidak akan beralih kepada kentang.
Selain itu, mereka juga menganggap cadangan supaya menukar tabiat pemakanan dengan mencuba sajian utama lain seperti yang berasaskan kentang juga bukan penyelesaian kepada beban yang terpaksa ditanggung akibat kenaikan harga beras.
MENYELERAKAN: Pelbagai sajian berasaskan kentang.
Kaji selidik itu menunjukkan 84 peratus daripada responden menganggap mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kentang mungkin menjadikan kos sara hidup mereka lebih tinggi kerana ia lebih mahal berbanding beras.
Ketika ini, harga sekilogram ubi kentang ialah kira-kira RM2.50 manakala sekilogram beras juga dianggarkan pada harga yang sama (bergantung kepada jenama) namun ia tahan lama jika disimpan berbanding ubi kentang.
Sekilogram ubi kentang juga dianggarkan hanya boleh menampung keperluan pemakanan kira-kira empat orang individu dewasa berbanding beras yang boleh dimakan dengan jumlah yang lebih ramai daripada itu.
Sebelum ini, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia ada menyarankan rakyat mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil ubi kayu, keledek dan kentang yang banyak ada di negara ini yang bukan saja lebih murah, malah berkhasiat.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga meminta rakyat mengubah gaya hidup dengan mengutamakan amalan berjimat-cermat, mengelak pembaziran dan berbelanja mengikut keperluan ketika dunia dilanda krisis bekalan makanan.
Bagaimanapun, kebanyakan responden menganggap makan kentang tidak mengenyangkan dan ini akan hanya menyebabkan ia perlu diambil dalam jumlah yang lebih banyak jika dibandingkan dengan nasi dan akhirnya mengakibatkan pengguna mengeluarkan belanja yang lebih membelinya.
Ada juga responden menganggap mengubah pemakanan kepada kentang bukan jalan penyelesaian kerana jika 26 juta rakyat Malaysia beralih kepada makanan itu, harganya juga akan melambung tinggi kerana permintaan sedangkan ia 100 peratus diimport.
Sehubungan itu, majoriti responden mencadangkan supaya pengguna menyambut saranan Perdana Menteri iaitu mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat untuk mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung akibat kenaikan harga barang.